Dua pemimpin Pas Pahang bergelar Datuk

Iklan
Rosli Abdul Jabar, Andansura Rabu

KUANTAN - Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang, Yang Amat Mulia, Peringkat Ke Dua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) membawa gelaran Datuk.

Pengurniaan itu diperkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-65 di Istana Abdulaziz di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan

Andansura melalui hantaran di Facebooknya merafak sembah ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas pengurniaan darjah kebesaran itu

"Patik dengan rendah diri menerima anugerah ini sebagai penghargaan, amanah dan tanggungjawab yang akan dipikul sebaiknya.

Iklan

"Terima kasih di atas ucapan daripada semua. Semoga kita semua dirahmati Allah," ujarnya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pemimpin Pas Pahang itu atas pengurniaan Darjah Kebesaran Pahang itu.

Iklan

"Sekalung tahniah kepada Pesuruhjaya Pas Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tanjung Lumpur dan timbalannya, Datuk Andansura Rabu yang juga ADUN Beserah atas pengurniaan itu," katanya melalui hantaran di Facebooknya.

Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka turut menjunjung kasih kepada Sultan Pahang atas pengiktirafan buat ADUN Pas itu.

Rosli dan Andansura antara 27 penerima darjah kebesaran dan pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Pahang.

Tengku Puteri Seri Lela Wangsa, Tengku Tan Sri Dr Meriam Sultan Ahmad Shah mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) yang membawa gelaran Datuk Seri Setia.