Imigresen lanjut waktu operasi pada musim cuti sekolah

Iklan
Waktu pengoperasian di 72 pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen (JIM) di seluruh negara dilanjutkan selama tiga jam pada cuti persekolahan minggu depan.

JERTIH - Waktu pengoperasian di 72 pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen (JIM) di seluruh negara dilanjutkan selama tiga jam pada cuti persekolahan minggu depan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu diambil sebagai usaha mengatasi kesesakan pelanggan yang datang memohon atau membaharui pasport bersempena dengan musim cuti itu.

Iklan
Iklan

"Semua negeri kecuali Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, pejabat pengeluaran pasport akan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam bermula Selasa (17 September) hingga Jumaat depan (20 September).

"Pada hari Sabtu dan Ahad pula akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 3 petang manakala waktu rehat tengah hari turut dibuka kecuali hari Jumaat yang ditutup sementara bermula 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Santuni Madani di Kampung La, Hulu Besut di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu pula waktu operasi dilanjutkan hingga 8 malam pada hari Selasa dan Rabu sahaja (17 dan 18 September).

Ruslin berkata, pada Khamis, operasi pejabat di empat negeri berkenaan akan bermula dari pukul 8 pagi hingga 6.30 petang manakala Jumaat dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Iklan

"Hari Sabtu, pejabat dibuka bermula 8 pagi hingga 3 petang sementara waktu rehat turut beroperasi selama tempoh itu (kecuali Jumaat),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan 50 peratus jumlah pelanggan untuk urusan pasport sepanjang cuti persekolahan ini iaitu daripada 10,000 orang setiap hari biasa kepada 15,000 orang.

Mengenai Program Santuni Madani, beliau berkata, ia merupakan cetusan idea Perdana Menteri bagi meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk.

"Santuni Madani ialah singkatan kepada Program Satu Pemimpin Satu Kampung dengan JIM telah memilih Kampung La sebagai kampung angkat jabatan,” katanya yang turut menziarahi beberapa penduduk yang terlantar selain menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin). - Bernama