SHAH ALAM - Kelantangan blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin dalam mengkritik kepimpinan kerajaan atau pembangkang dilakukan atas dasar melahirkan rakyat Malaysia yang lebih berpengetahuan.
Anak perempuannya, Raja Sara Raja Petra berkata, bapanya mempunyai misi untuk membangkitkan pemikiran kritis dalam mendorong rakyat Malaysia membuat pilihan berdasarkan pengetahuan dan keyakinan.
"Baginya, dia tidak pernah ambil peduli tentang politik yang disokong sama ada bersama kerajaan atau pembangkang selagi anda mengetahui tujuan perjuangan itu,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.
Raja Petra dilaporkan meninggal dunia pada usia 74 tahun di Manchester, United Kingdom (UK) pada Isnin.
Allahyarham merupakan pengendali laman web Malaysia Today yang terkenal dengan ulasan dan artikel politik Malaysia.
Mengulas lanjut, Raja Sara memberitahu bahawa Raja Petra tidak mempunyai niat jahat terhadap sesiapa.
"Niatnya sentiasa berakar pada rasa cinta yang mendalam terhadap Malaysia. Saya boleh memberi jaminan, ayah saya tidak mempunyai niat jahat terhadap sesiapa. Hatinya penuh dengan harapan untuk kamu, saya dan seluruh rakyat Malaysia.
"Ayah saya mendedikasikan seluruh hidup untuk negara ini. Dia memberikan segalanya dan melihat ramai menghargai usaha beliau, telah memberi sedikit ketenangan kepada kami (keluarga),” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong Allahyarham kerana sentiasa bersamanya walaupun pada masa sukar.