[VIDEO] Wanita penggerak ekonomi di Kundasang

Iklan

RANAU - Keindahan pemandangan Gunung Kinabalu disifatkan satu anugerah bagi penduduk di tanah tinggi Kundasang kerana bukan hanya aktiviti mendaki gunung menjadi punca pendapatan mereka tetapi juga kegiatan ekonomi yang rancak di pusat peranginan tersebut.

Lebih mengagumkan, kegiatan ekonomi melibatkan aktiviti jual beli produk tempatan sayur-sayuran yang dikeluarkan dari tanah tinggi itu dikuasai oleh kaum wanita di daerah tersebut.

Iklan
Iklan
Rosnah antara wanita yang berniaga di gerai menjual sayur dan buah di Pekan Kundasang.

Tinjauan Sinar Harian di lebih 30 gerai menjual sayur-sayuran dan buah-buahan serta makanan tradisi tempatan mendapati semuanya dikendalikan oleh golongan wanita.

Salah seorang peniaga sayur, Dinah Sanan, 61, mengakui dengan pendapatannya itulah dia mampu membesarkan lima anaknya termasuk seorang lagi yang masih bersekolah ketika ini.

Iklan

"Bagi saya gerai menjual sayur-sayuran hasil dari tanah Kundasang ini sangat membantu kami menambah ekonomi keluarga.

Lebih 30 gerai menjual sayur dan buah keluaran dari tanah tinggi Kundasang digerakkan oleh kaum wanita di Ranau.

"Saya sendiri sudah berniaga di sini sejak 30 tahun lalu dan dengan hasil inilah saya mampu membesarkan lima anak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerainya di Pekan Kundasang di sini baru-baru ini.

Iklan

Menurut Dinah lagi, kehadiran pelancong dan aktiviti pelancongan yang rancak di tanah tinggi itu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

"Banyak perbezaan dulu dan kini. Sejak ada aktiviti mendaki gunung semakin ramai pelancong tempatan dan luar negara datang.

"Begitu juga dengan aktiviti penginapan yang semakin berkembang menyebabkan ramai yang datang berkunjung ke sini dan merancakkan lagi ekonomi peniaga kecil-kecilan seperti kami," katanya.

Menurut seorang lagi peniaga, Rosnah Rustim, 50, aktiviti perniagaan di Kundasang banyak dikendalikan golongan wanita sejak dulu lagi.

"Memang semua wanita yang berniaga di sini, sejak dulu lagi," katanya.

Rosnah berkata, aktiviti perniagaan itu bukan saja meningkatkan ekonomi penduduk tetapi sekali gus memperkenalkan produk tempatan di mata dunia.

"Kerana yang datang ke sini adalah pelancong asing dari serata dunia dan saya lihat mereka sangat ingin mengenali makanan tradisi kita di sini.

"Kalau pelancong, mereka suka makanan tempatan contohnya nasi linopod (nasi dibungkus daun), serunding goreng bunga kantan ikan bilis, jeruk tuhau, jeruk bambangan dan sayur losun.

"Dengan kehadiran pelancong seperti dari China, Korea Selatan dan Jepun, negara kita Malaysia akan berkembang dengan membantu ekonomi penduduk tempatan," katanya.