Mashitah saman MHO, dua lain isu sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar

Iklan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Datuk Dr Mashitah Ibrahim memfailkan saman terhadap Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua jawatankuasanya, berhubung kenyataan fitnah mengaitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Mashitah, 60, selaku plaintif membuat tuntutan itu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin lalu dengan menamakan MHO, Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, 45, dan jawatankuasanya, Azirul Shafiq, 29, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Iklan
Iklan

Menerusi dokumen tuntutan tersebut, bekas Ahli Parlimen Baling itu mendesak ketiga-tiga defendan ini membuat permohonan maaf, menuntut ganti rugi dan injunksi mandatori supaya memadamkan kenyataan dan klip video di Facebook dalam masa tujuh hari.

Plaintif juga memohon injunksi untuk menghalang semua defendan atau wakil daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi kenyataan fitnah.

Mashitah berkata, pada 28 Ogos lalu, MHO memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu klip video kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan yang mengandungi pernyataan fitnah terhadapnya.

Iklan

Katanya, klip kenyataan media ‘sidang media penglibatan ahli politik Malaysia dalam sindiket pemerdagangan manusia berpusat di Myanmar’ di Facebook milik MHO dibuat menggunakan nama Hishamuddin Hashim.

Plaintif berkata, pada tarikh sama, Azirul Syafiq juga memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan klip video sama melalui satu posting Facebook miliknya.

Iklan

Keesokannya, beliau berkata, defendan pertama menyebarkan klip video ‘sidang media penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan sebuah syarikat berkaitan sindiket pemerdagangan manusia dan scam paling besar di Myanmar’.

Katanya, melalui klip video itu, mereka menunjukkan beberapa gambar (Mashitah) yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan.

"Mereka juga membuat kenyataan fitnah kononnya saya dan suami, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar terlibat secara langsung dengan sindiket jenayah pemerdagangan manusia di negara berkenaan.

"Ia juga merujuk, kononnya saya dan suami berkecimpung secara aktif dengan menjadi dalang jenayah itu, melibatkan rakyat Malaysia, selain mempunyai hubungan perniagaan individu yang didakwa sebagai mafia,” katanya.

Mashitah juga seorang ahli perniagaan berkata, pernyataan fitnah itu memberi gambaran mereka sebagai pasangan suami isteri, menjerumus dalam jenayah keganasan dan rentas sempadan.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran, Indonesia untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar, yang didakwa membabitkan Mashitah dan suami.

Bagaimanapun, pada 7 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada bukti mengaitkan ahli politik itu bersama suami, terbabit dengan kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan polis turut mendapati, tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Mashitah di luar negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

Pada 3 September lalu, polis telah merakam keterangan seorang individu bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitan seorang ahli politik di negara ini yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk seorang penulis blog.

Terdahulu MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya membabitkan satu kumpulan sindiket berkenaan.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk 'Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia' yang diterbitkan di Indonesia.

Dalam kenyataan di Facebook, bekas pensyarah kanan itu menafikan terbabit dalam kegiatan jenayah.

Beliau kemudiannya membuat laporan berkaitan tuduhan berkenaan selain telah memberi keterangan di Bukit Aman.