Kerajaan perlu kawal selia, tapis gelaran ustaz dan ulama

Iklan
Abd Razak. Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Satu garis panduan perlu diwujudkan oleh kerajaan bagi mengenal pasti individu yang layak diberi gelaran ustaz atau ulama.

Pengerusi Pertubuhan Sahabat Amal Jaya Lembah Klang, Abd Razak Abd Rahman berkata, sebuah badan bertauliah juga perlu dilantik untuk mengawal selia gelaran berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu perlu bagi mengelak gelaran ustaz dan ulama digunakan sewenang-wenangnya hingga mengelirukan orang ramai.

"Apa yang berlaku ketika ini bomoh pun boleh pakai gelaran ustaz, begitu juga dengan ketua ajaran sesat mengaku sebagai ustaz... jadi kalau tidak dibuat sesuatu umat Islam di negara ini akan terus keliru mana satu yang betul dan salah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Khalif Muammar A Harris yang menegaskan isu berkenaan perlu ditentang kerana Islam bukan agama ciptaan manusia, agama budaya atau nenek moyang.

Abd Razak berkata, insiden GISB patut dijadikan peringatan agar garis panduan berkenaan dapat diwujudkan segera.

Iklan

"Hanya badan bertauliah berkenaan yang boleh menganugerahkan gelaran ustaz atau ulama ini kepada seseorang dengan tatacara yang lebih ketat serta mereka perlu mematuhi tata kelola praktis sesuai dengan anugerah dan martabat yang diterima.

"Perlu diingat bahawa untuk seseorang itu diangkat ke gelaran ini, sepatutnya melalui proses yang jelas untuk diiktiraf seperti contoh gelaran profesional yang lain yang mempunyai singkatan rasmi.

"Kita bimbang ada individu atau pertubuhan yang menggunakan platform agama ini untuk kepentingan peribadi yang akhirnya akan melahirkan golongan pengikut ajaran songsang,” katanya.

Tegasnya, orang yang menggunakan gelaran ustaz atau ulama perlu dikenal pasti kesahihannya bukan untuk menyusahkan tetapi ditakuti berlaku perkara yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenarnya.

"Ini adalah soal kesucian agama, kalau semua orang nampak alim itu dipanggil ustaz maka saya yakin masalah ajaran songsang ini akan terus berakar umbi dan merosakkan Islam itu sendiri dari dalam,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masa pihak berkuasa agama di negara ini memikirkan kaedah bagi mengekang kekeliruan yang timbul ditambah dengan dunia digital tanpa sempadan yang boleh menyebar luas maklumat dan identiti palsu seseorang untuk diyakini sebagai yang sebenar.