KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Indonesia cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah bangunan berhampiran dengan Balai Bomba Penyelamat Titiwangsa, Jalan Haji Hussein pagi tadi.
Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba, Mohd Zain Abdullah Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 10.10 pagi.
Iklan
Iklan
"Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 30-an dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah bangunan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang terjatuh daripada bangunan tersebut tersangkut di sengkuap (awning) tingkat tiga bangunan tersebut.
"Anggota bomba kemudian berjaya menurunkan mangsa.
"Seterusnya mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Jelasnya, punca kejadian tidak dapat dikenal pasti.