Rasuah pegawai imigresen, penyelia restoran didenda RM40,000

Iklan
Siou Wei (kiri) didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada seorang pegawai kanan Imigresen Perak.

IPOH - Seorang penyelia restoran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Perak, minggu lalu.

Tertuduh, Heng Siou Wei, 33, didakwa secara rasuah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan berusia 50 tahun yang bertugas di Jabatan Imigresen Perak.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit memberi suapan tersebut sebagai dorongan supaya penjawat awam itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja-pekerjanya yang tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama iaitu hukuman penjara tidak sampai 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudiannya menetapkan hukuman denda RM40,000 kepada tertuduh atau penjara selama empat bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Iklan

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM15,000 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa, Sharul Azuan Ghazali.