KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berjaya membongkar operasi klinik perubatan dan klinik pergigian swasta tidak berdaftar hasil serbuan ke atas dua premis sekitar daerah ini pada Khamis.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, klinik terbabit didapati beroperasi dan dikendalikan tiga wanita dipercayai pemilik dan pekerja berusia 20-an yang tidak bertauliah.
Menurutnya, klinik pergigian itu menggunakan rumah milik peribadi manakala klinik perubatan berselindung di sebalik premis yang didaftarkan sebagai pusat kecantikan
"Dalam serbuan itu, kita turut merampas ubatan dan peralatan perubatan yang digunakan dianggarkan bernilai RM50,000.
"Siasatan mendapati ada ubatan yang digunakan tidak berdaftar dan dipercayai diperoleh melalui platform pembelian dalam talian," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Dr Rusdi berkata, siasatan turut mendapati kedua-dua klinik itu telah beroperasi sejak dua tahun lalu dan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui laman sosial dengan kos rawatan agak tinggi.
Menurutnya lagi, ketika serbuan dijalankan penguat kuasa Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan Bahagian Pergigian JKNP dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, terdapat pelanggan di kedua-dua premis tersebut.
"Operasi dijalankan berdasarkan aduan diterima daripada orang awam.
"Pemeriksaan mendapati premis itu menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan pergigian sebagai sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang dikawal dan dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
"Sedangkan semua klinik perubatan atau pergigian swasta perlu didaftarkan di bawah seksyen 27 akta yang sama manakala subseksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] memperuntukkan larangan menjalankan amalan pergigian oleh seseorang yang tidak didaftarkan di bawah akta itu," jelasnya.
Tambah beliau, bagi kedua-dua kesalahan itu, pihak terlibat berdepan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
"Kertas siasatan kes ini sedang disiapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,"katanya.
Sementara itu katanya, JKNP memandang serius isu pengoperasian klinik haram dan amalan pergigian oleh individu tidak bertauliah kerana boleh membawa impak memudaratkan kepada masyarakat.
"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan atau testimonial di laman sesawang," katanya.