TEMERLOH - Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersetuju perkahwinan rentas budaya menjadi kaedah untuk parti itu meraih sokongan orang bukan Melayu.
Namun Menteri Besar Kedah itu menjelaskan, perkahwinan hanya semata-mata untuk tujuan sedemikian tidak sah di sisi hukum Islam.
"Kahwin bukan Islam tak boleh, kena jadi Islam dahulu. Kalau kaum lain boleh, salah satu cara tak ada masalah, boleh teroka. Dengan kaum lain, bukan agama lain.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Pemuda Pas Selangor, Aubidullah Fahim Ibrahim dilapor mencadangkan agar barisan kepimpinan sayap parti itu mempertimbangkan perkahwinan rentas kaum atau budaya sebagai satu strategi politik bagi meningkatkan sokongan masyarakat bukan Melayu.
Cadangan perwakilan Selangor ketika membahaskan ucaptama Ketua Pemuda Pas sempena Muktamar Pemuda Pas kali ke-65 pada Khamis itu meraih perhatian warga maya dan beberapa ahli politik lain.
Terbaharu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengecam saranan tersebut selain membangkitkan kesucian perkahwinan.
"Dalam Islam, perkahwinan adalah penyatuan suci di depan ALLAH WST dan tidak patut digunakan sebagai alat untuk keuntungan politik dan nafsu untuk kuasa,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X.
Sementara itu, ditanya sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu bersedia sekiranya diangkat sebagai calon Perdana Menteri, Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau tidak mengejar jawatan dan hala tuju dirinya dalam politik diletakkan pada kepimpinan Pas.
"Saya orang parti, tidak ada sasaran sebab parti yang tentukan kedudukan, saya tidak ada cita-cita peribadi. Bukan tak kejar sebab saya orang parti.
"Tidak pernah terfikir nak jadi calon Perdana Menteri, calon pilihan raya pun tidak pernah terfikir," ujarnya.