SHAH ALAM - Destinasi rekreasi dan hiburan terkemuka, Resorts World Genting (RWG) menerokai alternatif kepada penggunaan daging bagi tujuan kelestarian dan menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, RWG menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat makanan antarabangsa, Nestlé demi memfokuskan masa hadapan yang lestari.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awamnya, Spencer Lee berkata, perjanjian itu bakal berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2024 dan sah selama setahun bagi membolehkan RWG memanfaatkan keseluruhan portfolio produk Harvest Gourmet.
"RWG bakal memperkenal lebih banyak pilihan makanan berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet di segmen MICE serta cawangan makanan dan minuman (F&B).
"Kami (RWG) juga bertekad untuk mengukuhkan komitmen terhadap masa depan yang lebih lestari dan pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Nestlé Professional Malaysia dan Singapura, Yit Woon Lai berkata, kerjasama tersebut adalah usaha meningkatkan kesedaran mengenai alternatif berasaskan tumbuhan serta mengembangkan segmen makanan tanpa daging.
Woon Lai turut berkongsi pandangan mengenai perjalanan Nestlé menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) nasional termasuk usaha mengurangkan jejak karbon di seluruh rantaian bekalan, tadbir urus beretika, mempromosikan diet berkhasiat serta sebagainya.
Katanya, semasa pembukaan Ekspo Genting SustainBiz F&B, Nestlé menganjurkan pameran khas yang memaparkan makanan berasaskan tumbuhan serta sesi rasa hidangan dengan menampilkan Cef Calvin Ng dan Salihin Ahmad dari Penyelesaian Pelanggan Nestlé Professional.
Sementara itu, sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik RWG dan Nestlé, pihak berkenaan telah memperkenalkan menu inovatif berasaskan tumbuhan yang mula ditawarkan pada 1 September.
Menu tersebut berasaskan tumbuhan premium daripada Harvest Gourmet boleh dinikmati di cawangan F&B termasuk Harry Ramsden, High Line Rooftop Market dan Taiko Ramen.
Seterusnya, Lobby Café, The Junction, Burger & Lobster, Buck’s Café, Vila Festa, Wolfgang’s Steakhouse, The Bakery dan kios di Genting SkyWorlds.