'Cedera fizikal, emosi tidak stabil'

Iklan
Seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada Rabu. Foto PDRM

KUALA LUMPUR - Seramai 172 daripada 392 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan menerusi serbuan di rumah amal dalam Op Global baru-baru ini dikesan mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini saringan kesihatan dilaksanakan terhadap 172 mangsa yang terdiri daripada 130 lelaki dan 42 perempuan.

Iklan
Iklan

"Hasil saringan mendapati mangsa terlibat mempunyai kesan fizikal lama dan baharu, selain gangguan emosi.

"Susulan itu, terdapat keperluan untuk menjalankan penilaian lanjut terutamanya dari segi kesihatan mental terhadap mangsa terlibat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Mess Pegawai, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pada Jumaat.

Katanya, jumlah terkini kesemua mangsa yang diselamatkan menerusi operasi dijalankan sebelum ini terdiri daripada 202 lelaki dan 190 perempuan.

Iklan

Ia terdiri daripada 57 mangsa berumur lingkungan empat tahun ke bawah, 198 berumur lima hingga 12 tahun manakala mangsa yang berumur 13 hingga 17 tahun seramai 115.

"Bagi mangsa yang berumur 18 tahun dan ke atas berjumlah 14 orang serta terdapat lapan mangsa lagi tidak dapat dikenal pasti dengan jelas maklumat berkenaan dengan usia mereka," katanya.

Menurutnya, 19 kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak 16 kertas siasatan dibuka di bawah kontinjen Selangor dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala kontinjen Negeri Sembilan membuka dua kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.

"Selain itu, terdapat satu kertas siasatan yang dibuka oleh kontinjen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).

Seramai 10 daripada 402 kanak-kanak yang merupakan kanak-kanak autistik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.