MUADZAM SHAH - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 100, Jalan Kuantan-Segamat di sini pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, mangsa berusia 36 tahun yang memandu kereta jenis Proton Preve mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, penumpang kereta pula cedera parah pada bahagian perut manakala penumpang kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger tidak sedarkan diri.
"Pemandu Ford Ranger berusia 36 hanya mengalami cedera ringan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu mangsa," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Nor Azman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.
"Mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan di hospital sama," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Faiz Ismail di talian 013-3969895 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.