Laluan pendakian Gunung Kinabalu ditutup

Iklan
Air mengalir dengan deras di laluan pendakian Gunung Kinabalu.

RANAU - Laluan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu ditutup sepenuhnya susulan keadaan cuaca yang kurang baik dan air mengalir deras menuruni laluan pendaki di Sayat-Sayat, pada Jumaat.

Menurut kenyataan Taman-Taman Sabah (TTS), kesemua pendaki yang telah melepasi laluan berkenaan telah diarahkan turun dengan serta-merta dan selamat tiba di Panalaban.

Iklan
Iklan

"Laluan pendakian ke puncak gunung telah ditutup sepenuhnya pada jam 8.43 pagi akibat keadaan cuaca berangin, berkabus, hujan lebat dan air mengalir deras menuruni laluan pendaki di Sayat-Sayat.

"Kesemua pendaki yang telah melepasi laluan ini telah diarahkan turun diiringi tiga petugas mencari dan menyelamat (SAR) Taman iaitu Nur Arrifin Japirin, Jerrye Calvin Patrick dan Ramzan Jatimin," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

TTS dalam pada itu menegaskan, pihaknya komited dan sentiasa bersiap sedia memantau keselamatan pendaki Gunung Kinabalu.

"Keselamatan pendaki dipantau agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh pendakian," katanya.

Iklan

Sebelum itu, turut dikongsikan satu video berdurasi satu minit enam saat yang menunjukkan keadaan air mengalir dengan deras dari puncak Gunung Kinabalu di laluan pendakian tersebut.

Keadaan itu dibimbangi membahayakan pendaki yang melalui laluan berkenaan.