PRK DUN Mahkota: Situasi di lapangan agak mencabar - Azmin

Iklan
Mohamed Azmin turun ke lapangan melihat persediaan jentera PN menghadapi PRK DUN Mahkota pada 28 September.

SHAH ALAM - Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Perikatan Nasional (PN) memulakan gerak kerja di 18 bilik gerakan mengundi di kawasan tersebut.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, situasi di lapangan agak mencabar, namun keberadaan jentera PN yang terlatih akan memberi peluang kepada parti untuk memenangi kerusi DUN tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya berada di Mahkota untuk melihat tahap kesiapsiagaan jentera PN di setiap unit daerah mengundi menjelang PRK Mahkota.

"Walaupun situasi di lapangan agak mencabar tetapi keberadaan jentera terlatih dan komited serta strategi yang betul, Insya-ALLAH PN ada peluang baik untuk menawan Mahkota. Semoga ALLAH SWT mempermudahkan perjuangan ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Pada 2 Ogos, penyandang kerusi DUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Ketua Wanita UMNO Kluang yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor sebelum itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HEBHK akibat pendarahan dalaman.

Iklan

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September.

Seterusnya, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.