SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyifatkan tindakan perwakilan Pemuda Pas, Mohd Sharif Mohd Azhari mengaitkan DAP dengan tragedi lubang benam sebagai melampau dan tidak wajar.
Syahredzan yang juga merupakan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berkata, adalah tidak patut mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas tragedi atau musibah untuk menyerang seteru politik mereka.
"Tindakan ini melampaui batas. Kita tidak seharusnya mempolitikkan tragedi seperti ini. Sebagai ahli politik muda, mereka sepatutnya membawa politik baharu yang lebih sihat dan memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, bukan menggunakan retorik lama yang ekstrem,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosialnya pada Jumaat.
Beliau mengulas lanjut berkata, tindakan perwakilan Pemuda Pas itu menunjukkan bahawa parti itu masih terperangkap dalam polemik politik lapuk dan melampau yang tidak membawa kebaikan kepada negara.
"Pas sekali lagi membuktikan bahawa mereka masih terperangkap dengan polemik dan retorik politik lapuk serta melampau,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Mohd Sharif Mohd Azhari, pada Muktamar Pas mendakwa kejadian itu mungkin berkait dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan serta pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.
Sharif telah menafsirkan insiden lubang benam yang berlaku baru-baru ini di kawasan berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur, sebagai satu bentuk balasan ALLAH.
Malah Sharif turut dilaporkan mengaitkan insiden itu dengan DAP apabila mendakwa parti itu banyak melakukan kejahatan sehingga mendapat pembalasan.