Malaysia sertai pangkalan data WIPO Alert - Armizan

Iklan
Armizan

KUALA LUMPUR - Malaysia hari ini secara rasminya menyertai platform perkongsian data WIPO Alert ke arah memperkasakan penguatkuasaan harta intelek negara dalam era digital, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan WIPO Alert ialah platform dalam talian dibangunkan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) untuk membantu agensi penguatkuasaan memuat naik dan mengakses senarai laman sesawang yang dikenal pasti melanggar hak cipta.

Iklan
Iklan

"Dengan penyertaan ini, Malaysia kini berada di barisan hadapan bersama 14 negara lain yang telah menyertai platform ini. Melalui perkongsian maklumat, Malaysia dapat memperkukuh usaha dalam menangani pelanggaran hak cipta di platform digital sekali gus melindungi pemilik harta intelek.

Terdahulu, beliau hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan WIPO di ibu pejabat WIPO di Geneva, Switzerland.

Iklan

Platform perkongsian data WIPO Alert dikendalikan WIPO, sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Armizan berkata, penyertaan dalam WIPO Alert membuktikan komitmen Malaysia untuk melindungi kepentingan pemilik harta intelek dan memastikan integriti pasaran digital.

Iklan

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2018 hingga 2024, sejumlah 4,084 sekatan laman sesawang telah dilaksanakan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama MyIPO dan agensi-agensi berkaitan.

"Sekatan ini dibuat atas kesalahan melanggar kandungan hak cipta. Pembangunan dan pemerkasaan penguatkuasaan dalam ekosistem digital ini perlu diteruskan dan saya akan memastikan kerjasama dengan WIPO ini diteruskan melalui pembangunan kapasiti dan latihan.

"(Selain itu), penglibatan aktif Malaysia di persidangan antarabangsa yang melibatkan isu penguatkuasaan digital ini bagi mengekang apa-apa bentuk aktiviti yang terkait dengan pelanggaran hak cipta digital,” katanya.

Beliau berkata pembangunan ekosistem harta intelek yang kondusif adalah penting untuk menggalakkan pelaburan asing dan seterusnya menambah baik kedudukan ekonomi negara. - Bernama