PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa membidas kenyataan Pemuda Pas Kawasan Machang, Mohd Sharif Mohd Azhari bahawa insiden lubang benam di Masjid India baru-baru ini sebagai balasan ALLAH SWT.
Menerusi kenyataan di platform X, Dr Zaliha mengingatkan Mohd Sharif agar berhujah secara betul dan menyemak fakta.
Tambahnya, hujah yang dangkal hanya menunjukkan tahap kedangkalan pemikiran seseorang individu.
"Cukup-cukuplah memperalatkan agama dalam memberi hujahan," katanya pada Jumaat.
Menurutnya, Surah al-Ankabut yang dipetik pemuda Pas itu penuh dengan kisah yang pelbagai, antaranya kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh AS.
"Jika musibah berlaku terhadap diri sendiri atau negeri yang diperintah Pas maka ia dikatakan ujian tetapi jika musibah di negeri selainnya dikatakan bala pula?" soalnya.
Tegas beliau, kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian dalam setiap permasalahan yang timbul dengan mengambil kira pandangan pakar dan kerjasama daripada semua pihak.
"Menuding jari dan mencari salah orang lain pastinya tidak akan dan bukan caranya untuk menyelesaikan sesuatu masalah," katanya.
Mohd Sharif pada Khamis mendakwa insiden lubang benam sehingga mengorbankan seorang wanita warga India di Kuala Lumpur disifatkan sebagai balasan ALLAH.
Beliau turut mendakwa kejadian itu boleh terjadi susulan apa yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur.