KUALA LUMPUR - Badminton Asia hari ini menyatakan mereka akan membuat keputusan sama ada mengekalkan Kejohanan Badminton Asia 2020 (individu) di Wuhan, China ataupun memindahkannya ke tempat lain hujung Februari ini berikutan wabak novel koronavirus 2019.
Bagaimanapun ABC dalam satu kenyataan menyatakan, pada masa ini kejohanan dari 21 hingga 26 April itu yang akan memberikan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, masih lagi kekal di Wuhan.
Iklan
Iklan
"Badminton Asia dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan memantau secara dekat perkembangan dan situasi virus itu dengan harapan situasi tersebut akan menjadi lebih baik.
"Badminton Asia juga mempunyai pelan kontingensi untuk bandar lain bersedia menjadi tuan rumah kejohanan tersebut di dalam dan luar China,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini BWF menangguhkan kejohanan Masters Lingshui di China, yang sepatutnya berlangsung dari 25 Februari hingga 1 Mac, yang juga merupakan satu kejohanan kelayakan sukan Olimpik. - Bernama