SPRM tahan 37 penguat kuasa, sekongkol bawa masuk warga asing

Iklan
Kesemua yang ditahan membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 37 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi 'Counter Setting' atau 'laluan kaunter khas'.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek ditahan menerusi Op Pump 2.0 yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor pada Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesemua yang ditahan membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita, berusia lingkungan 20 hingga 40-an yang kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Menerusi operasi ini, SPRM turut menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta iaitu lebih RM500,000 daripada seorang suspek di Pahang, lebih RM200,000 daripada suspek di Selangor, lebih RM170,000 daripada suspek di Johor serta lebih RM100,000 daripada suspek di Negeri Sembilan.

Iklan

Beliau berkata, SPRM juga turut menyita barangan kemas termasuk jongkong dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta dan motosikal selain telefon bimbit pelbagai jenama.

Kesemua yang ditahan membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

Sementara itu di Putrajaya, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman sembilan pegawai penguat kuasa membabitkan lima lelaki dan empat wanita selama lima hari sehingga Selasa.

Iklan

Tindakan reman itu diperoleh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat.

Di Selangor, Majistret Nur Syuhada Abdullah membenarkan lapan pegawai penguat kuasa lelaki dan tiga pegawai penguat kuasa wanita direman selama lima hari sehingga Selasa, selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sementara itu di Negeri Sembilan, seramai tujuh pegawai penguat kuasa lelaki direman selama tujuh hari sehingga Khamis, selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban.

Manakala di Melaka, tiga pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang pegawai penguat kuasa wanita direman juga selama lima hari sehingga Selasa, selepas permohonan dibenarkan oleh Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Selain itu, di Kuala Lumpur, Majistret Haneefa Ariffin membenarkan tiga penguat kuasa lelaki direman selama enam hari sehingga 18 September 2024.

Sinar Harian difahamkan, tiga lagi pegawai penguat kuasa membabitkan dua wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai dirakamkan.