Timbalan Presiden PBS umum keluar parti

Iklan
Jamilah

KOTA KINABALU - Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jamilah Sulaiman hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu.

Jamilah yang juga Ketua Bahagian PBS Sindumin turut memaklumkan, beliau melepaskan semua jawatannya dalam parti yang disertainya Iebih dari 33 tahun itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama penyokong dan pendokong setia PBS khususnya di Bahagian Sipitang.

"Dengan mengambil kira pandangan dan perjuangan mereka bersama saya dalam PBS selama ini, maka saya mengambil keputusan meletakkan semua jawatan dalam parti dan mengisytiharkan keluar dari PBS serta berhenti daripada menjadi ahli PBS.

Iklan

"Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus J Ongkili kerana tidak konsisten, tidak berpegang kepada kata-katanya, tidak bertimbang rasa, pilih kasih dan hipokrit," katanya.

Terdahulu, Jamilah merupakan wanita pertama yang dipilih menjadi Timbalan Presiden PBS bagi kuota Bumiputera Islam.

Iklan

Beliau dipilih tanpa bertanding sebagai salah seorang daripada tiga timbalan presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan ke-33 pada November 2018 termasuk Datuk Seri Panglima Radin Malih dan Datuk Dr Yee Moh Chai.

"Memandangkan saya tidak dapat bekerjasama dengan YB Presiden (Dr Maximus) dan 'gengnya' dalam PBS, maka adalah Iebih baik saya keluar dari parti saja.

"Walaupun amat berat bagi saya untuk mengambil keputusan meninggalkan PBS setelah berjuang bersama parti itu Iebih daripada 33 tahun. Pada masa ini saya mahu berehat dari politik untuk sementara waktu dan setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan karier politik saya," kata Jamilah menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, 17 daripada 18 ahli jawatankuasa (AJK) PBS Bahagian Sipitang turut bersama-sama Jamilah mengisytiharkan mereka keluar dari PBS.