SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati semua anak ayam yang dipamerkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan tanda-tanda sakit atau penderitaan.
DVS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas anak-anak ayam itu selepas video tular tentang tuduhan penyeksaan haiwan secara terbuka di MAHA 2024.
Menurut DVS, dari sudut kebajikan haiwan pula, pihak pempamer telah mematuhi semua keperluan kebajikan haiwan.
"DVS ingin memaklumkan bahawa mewarnakan anak-anak ayam adalah tidak termasuk di dalam perbuatan yang dikategorikan sebagai penganiayaan kepada haiwan di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] selagi warna dan kaedah pewarnaan tidak membahayakan, memudaratkan, menyakitkan serta menyebabkan penderitaan kepada ayam-ayam tersebut.
"Sehubungan itu, DVS ingin menasihatkan semua pihak untuk membuat rujukan dengan pihak berkuasa veterinar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat dan mengundang provokasi," ujarnya pada Jumaat.
Sebelum ini, tular satu video tentang tuduhan penyeksaan haiwan secara terbuka di MAHA 2024 yang dimuat naik di laman sosial pada 13 September 2024.
Video yang dimuat naik di aplikasi Tiktok itu dipercayai milik seorang pengamal veterinar berdaftar.
Tambah DVS, pegawai kebajikan haiwan dari jabatan itu ditempatkan di MAHA 2024 dan membuat pemantauan ke atas kebajikan kesemua haiwan terlibat di dalam pameran yang berlangsung dari 11 hingga 22 September 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.