Sivakumar dilantik pengerusi baharu MyCEB

Iklan
Sivakumar (empat dari kanan) dilantik sebagai pengerusi baharu MyCEB berkuat kuasa 30 Ogos 2024.

MALAYSIA Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) mengumumkan pelantikan bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa 30 Ogos 2024.

MyCEB dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Sivakumar merupakan amanah besar yang diberikan oleh Kerajaan Madani kepadanya dalam untuk menerajui dan melakar hala tuju baharu agensi tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, Sivakumar bersungguh-sungguh untuk meneroka peluang baharu bagi memacu kemajuan MyCEB.

"Fokus beliau termasuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk acara perniagaan antarabangsa, menggalakkan inovasi dengan menyepadukan teknologi terkini ke dalam penganjuran acara.

Iklan

"Seterusnya, mempromosikan negara sebagai destinasi yang mampan dan mesra alam untuk acara perniagaan global serta membangunkan bakat tempatan dalam pementasan acara di Malaysia,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Tambah MyCEB, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah itu akan mengetuai perbincangan lembaga MyCEB dalam menggalakkan penyertaan aktif dan membenarkan pandangan berbeza dikongsikan secara bebas.

Iklan

Menurutnya, Sivakumar akan mengetuai lembaga pengarah dalam mewujudkan dan memantau amalan tadbir urus korporat dalam MyCEB serta membangunkan hubungan baik antara lembaga pengarah serta pengurusan.

Pada masa sama, beliau komited untuk menggiatkan semula industri pelancongan perniagaan Malaysia dan mengangkat profil negara di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing turut mengalu-alukan kehadiran Sivakumar sebagai pengerusi baharu.

"Kami sangat teruja kerana Sivakumar menyertai kami pada detik penting ini. Visi dan kepimpinan beliau sudah pasti akan menjadi aset penting kerana kami terus memperjuangkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk acara perniagaan.

"Dengan bimbingan beliau, kami yakin MyCEB akan meraih pencapaian baharu dan terus memacu sumbangan ekonomi yang besar kepada negara,” ujarnya.