Wanita putih mata, rumah baru ubah suai dirobohkan MPS

Iklan
Bahagian rumah terlibat ubah suai dirobohkan MPS susulan dakwaan aduan daripada jiran.

SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang melaksanakan perobohan struktur rumahnya di Bukit Rahman Putra pada Khamis.

Wanita berkenaan mendakwa MPS tetap melaksanakan penguatkuasaan berkenaan walaupun pihaknya telah mendapat perintah mahkamah bagi tujuan penangguhan.

Iklan
Iklan

"Jam 9 pagi, MPS merobohkan rumah saya, mereka tidak mahu memberikan kerjasama walaupun peguam telah mendapat perintah mahkamah tetapi MPS tetap berdegil.

"Rayuan saya tidak diterima dengan alasan jiran membuat aduan," kongsinya menerusi aplikasi TikTok.

Iklan

Kerja perobohan tersebut difahamkan membabitkan pembinaan struktur tambahan pada bahagian balkoni juga tembok pagar yang telah diubah suai.

Operasi perobohan oleh MPS membabitkan struktur rumah terlibat kerja ubah suai.

Iklan

Perkongsian tersebut menimbulkan persoalan pengguna media sosial punca perobohan itu dilakukan dan sama ada ubah suai yang dijalankan mengikut proses permohonan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Terdapat dalam kalangan pengguna berpandangan pembinaan tembok pagar yang dibuat terlalu tinggi dan tidak mengikut spesifikasi kemungkinan antara punca penguatkuasaan diambil.

Pada video berasingan, wanita tersebut berkongsi kronologi notis diterima sehingga operasi perobohan dijalankan.

Beliau memaklumkan, notis MPS diterima pada 4 September lalu melalui surat yang diselitkan di pagar rumah.

"Kemudian pada 5 September, saya telah menghantar rayuan permohonan kepada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) yang memaklumkan akan menghubungi MPS untuk tindakan lanjut.

"Selepas itu, saya tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga pada Isnin saya telah merujuk kes kepada peguam untuk memfailkan kes memandangkan tempoh akhir notis pada Khamis.

"Pada Khamis, hampir 100 orang (petugas) MPS datang untuk perobohan. Saya telah maklum peguam berada di Mahkamah Sesyen untuk proses permohonan waran penangguhan perobohan tetapi MPS tetap mahu operasi dijalankan segera," luahnya.

Susulan itu katanya, pihaknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh berhubung kejadian tersebut.

"Apabila saya persoalkan perkara ini kepada pegawai penguat kuasa terlibat, dia maklumkan tindakan dilakukan atas arahan pihak atasan.

"Saya mahu penjelasan MPS dan saya akan ambil tindakan sewajarnya kerana tidak menghormati arahan mahkamah," katanya.

Sementara itu, MPS memaklumkan, operasi perobohan yang dijalankan itu atas kesalahan binaan struktur tanpa kebenaran.

"Tindakan perobohan ini diambil selepas beberapa notis di bawah Seksyen 72 Akta Jalan Parit & Bangunan 1974 dikeluarkan," katanya.

Justeru katanya, MPS meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi berhubung operasi yang telah dilaksanakan itu.