Pasar Terapung D'Laman LKIM tarikan utama

Iklan
Hamdan bergambar di Floating Market D'Laman LKIM pada MAHA 2024.

SERDANG - Pasar Terapung atau Floating Market yang sinonim dengan tarikan Khlong Hae, Hatyai kini konsepnya diperkenalkan di D'Laman Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sempena Sambutan 100 Tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada 2024.

Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat berkata, menerusi Pasar Terapung pelbagai jualan makanan berasaskan tradisional di seluruh negeri dijual oleh persatuan nelayan dan usahawan untuk pengunjung yang datang dengan harga sangat berpatutan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, idea tersebut diadaptasi daripada Pulau Suri, Tumpat Kelantan yang mana deretan bot-bot kecil diletakkan di tepi-tepi sungai.

Floating market antara daya tarikan di D'Laman LKIM pada MAHA 2024.

"Pasar Terapung ini memberikan pengalaman kepada pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman membeli makanan dari atas bot sambil menikmati pemandangan tasik yang indah.

Iklan

"Sebanyak tujuh buah bot disediakan untuk jualan yang menonjolkan usahawan agropelancongan LKIM yang terdiri daripada Persatuan Nelayan, Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita) dan usahawan asas perikanan dari pelbagai negeri seperti Terengganu, Kedah, Kelantan, Perak, Selangor, Melaka dan Sarawak yang ditempatkan di atas bot.

"Mereka menawarkan hidangan unik dari negeri masing-masing. Antara menu yang dijual ialah Ikan Celup Tepung, Selayang Crispy, Nasi Dagang, Tilapia Goreng, Pek Nga, Kerang Bakar, Satar, Otak-Otak, Salted Crab, Umai, Linut, Suman, Lemantak, Sambal Tahai, Sesar Unjur, Lokan Chesese, Miang Pla dan banyak lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Floating market antara daya tarikan di D'Laman LKIM pada MAHA 2024.

Iklan

MAHA 2024 bermula pada 11 September sehingga 22 September ini antara lain turut menekankan elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan daripada pelbagai negara menerusi segmen MAHA Go Global.

Menu menarik

Beliau turut memberitahu, antara tarikan lain adalah Tropical Garden Café yang mana menawarkan pelbagai menu menarik sambil bersantai dalam suasana kehijauan.

Jelasnya, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengendalikan ruang khas yang menawarkan pelbagai juadah istimewa manakala Persatuan Negeri Pulau Pinang (PEN Mutiara) menguruskan ruang terbuka dengan hidangan utama seperti Kari Kepala Ikan.

"Selain itu, hidangan yang disajikan termasuk Keropok Lekor, Sate Ikan, Ikan Kaloi, Ikan Bekok (Gurami Terbang) Dan Patin Paskal yang membawa pelbagai masakan berasaskan Ikan Patin.

HAMDAN

"Kami turut menyediakan dua ruang utama, iaitu ruang untuk tetamu kenamaan dan ruang terbuka untuk semua pengunjung,” ujar Hamdan.

Tambah Hamdan, selain menikmati pelbagai menu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan ikan segar dan produk perikanan yang dijual melalui Fish Truck Mobile.

"Kami juga ada membuat penghantaran terus ke kereta pembeli dengan menggunakan motosikal pasar nelayan.

Ikan segar turut dijual D'Laman LKIM pada MAHA 2024.

"Fish Truck Mobile adalah trak yang direka untuk menjual ikan segar secara langsung di lokasi-lokasi yang berbeza, manakala motosikal pasar nelayan menyediakan platform fleksibel untuk menjual ikan dan membuat penghantaran," katanya.

Hadiah menarik

Menurut Hamdan, Zon D'Laman LKIM juga dimeriahkan dengan beberapa acara menarik seperti pertandingan memancing dan demo masakan.

Beliau berkata, selain itu D'Laman LKIM bakal diwarnai dengan tarian kebudayaan, pertandingan mewarna dan persembahan daripada artis tempatan seperti Zarul Umbrella, Zubir Khan serta Akim

Produk IAT turut dijual di D'Laman LKIM pada MAHA 2024.

"Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan buskers dan dikir barat sepanjang acara berlangsung. Setiap hari kami akan sediakan aktiviti menarik kepada pengunjung tidak kira peringkat umur.

"Oleh itu, saya harap orang ramai akan mengunjungi D'Laman lKIM apabila datang ke MAHA, rugi kalau tidak datang. Paling penting jangan lepaskan peluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik melalui kuiz dan aktiviti,” ujar Hamdan.

Tambah beliau, LKIM sentiasa komited dalam memberi kepuasan kepada semua pihak terutama pengunjung.

Hamdan memberitahu, menerusi D’Laman LKIM kali ini beliau percaya ia bukan sahaja memberi kepuasan kepada pengunjung malah memberi peluang kepada persatuan nelayan dan usahawan produk tempatan mempromosikan produk mereka.

"Biasanya LKIM akan menyertai pameran di Dewan A setiap kali menyertai MAHA tetapi kali ini ada kelainan yang sangat ketara apabila mengetengahkan konsep secara terbuka.

"Konsep sebegini saya rasa lebih mendapat perhatian pengunjung, ini pun kita lihat ramai yang datang bawa anak isteri seterusnya memperkenalkan produk Industri Asas Tani( IAT)," jelasnya.

REAKSI

ZUHAIDAH


"D’ Laman LKIM merupakan salah satu daya tarikan yang ada di MAHA 2024. Di sini pengunjung dapat merasai suasana floating market serta mengetahui pelbagai produk IAT LKIM seterusnya membantu usahawan tempatan.”- Zuhaidah Abu Hassan, 46, Kakitangan Swasta (Kajang)

JALANI


"Saya cadangkan kepada orang ramai yang datang ke MAHA 2024 untuk datang ke D’Laman LKIM kerana di sini terdapat pelbagai makanan tradisional dari seluruh negeri. Saya teruja juga apabila datang ke sini, ada Floating Market menyebabkan kita rasa seolah- olah berada di Thailand, petugas- petugas di sini pun sangat mesra dan membantu.”- Jalani Munajat, 66, Peladang (Johor)

MUHAMMAD BAZLI


"Pengunjung MAHA 2024 berpeluang untuk mendapatkan ikan segar dan produk IAT dengan mengunjungi Laman LKIM, harga yang dijual pun berpatutan. Selain itu terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan, jadi mudah untuk pengunjung datang, sesuai kalau mahu bawa anak-anak pada cuti sekolah ini.” - Muhammad Bazli Husain, 30, Kakitangan swasta (Shah Alam)

INFO MENARIK

-Memperkenalkan kelainan baru dengan komponen utama iaitu Floating Market, Tropical Garden Café, dan platform Jualan Ikan Segar dan Produk IAT.

-Menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti demo masakan, lertandingan mewarna, sand art, pertandingan memancing, dan tarian kebudayaan.

-Konsert artis tempatan seperti Zarul Umbrella, Zubir Khan, dan Akim.

-Persembahan buskers dan persembahan dikir barat.

-Menyediakan dua ruang utama, iaitu ruang untuk tetamu kenamaan dan ruang terbuka untuk semua pengunjung.