PUTRAJAYA - Waris kepada 141 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Huwan, China dalam misi penerbangan khas tidak dibenar melawat sehingga tamat tempoh kuarantin 14 hari.
Tegas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turut dikuarantin 26 pegawai kerajaan termasuk 12 krew penerbangan pesawat Air Asia yang digunakan dalam misi berkenaan.
"Kesemua yang terlibat dalam misi ini akan dikuarantin," katanya pada sidang media di KKM hari ini.
Menurutnya, dalam usaha untuk membawa pulang rakyat di Wilayah Hubei, KKM akan memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi dipatuhi setiap masa.
"Misi tersebut terbahagi kepada empat fasa, iaitu sebelum berlepas ke Wuhan, semasa membawa pulang, ketibaan di tanah air dan seterusnya kemasukan semua individu yang terlibat ke Pusat Pemantauan," katanya.
Beliau berkata, hanya mereka yang disahkan sihat oleh pihak berkuasa China akan dibawa pulang.
"Mereka yang didapati bergejala akan dibawa ke fasiliti kesihatan di Wuhan untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya.
Dr Dzulkefly berkata, semasa dalam perjalanan, kesemua penumpang pesawat akan dipantau oleh enam pegawai KKM yang turut bersama dalam penerbangan itu.
"Kesemua penumpang tidak akan memasuki bangunan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengurangkan risiko penyebaran virus," katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, mereka akan dibawa ke Unit Kecemasan Udara (ADU) dengan menaiki bas untuk proses kontaminasi dan saringan kesihatan.
"Mereka yang didapati bergejala akan dibawa terus ke hospital rujukan iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.
"Mereka yang tidak bergejala akan dibawa ke Pusat Pemantauan. Mereka hanya akan dibenarkan untuk pulang ke kediaman masing-masing selepas disahkan sihat dan didapati negatif jangkitan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terkini wabak tersebut, Dr Dzulkefly berkata, kes positif kekal lapan.
"16 kes masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya.
Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia ke China dijangka berlepas petang ini.