TELUK INTAN - Kerajaan digesa menyemak dan memastikan bekalan baja subsidi kepada pesawah dibekalkan mengikut masa dan menepati jadual penanaman ditetapkan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, aduan pembekalan baja lewat yang diterima musim ini melibatkan petani di Perak dan Selangor menunjukkan, masalah itu gagal ditangani meskipun isu sama pernah dibangkitkan.
Menurutnya, masalah itu dikesan berpunca daripada kelewatan tawaran kontrak baharu, Surat Setuju Terima (SST) pembekalan baja kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk disalurkan kepada petani-petani.
"Kontrak ini diperbaharui setiap lima musim iaitu dalam tempoh dua tahun setengah kepada Nafas yang telahpun berakhir pada Jun lalu.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) sepatutnya sudah tahu tempoh tamat kontrak tersebut dan wajar bagi mereka membuat persediaan awal dengan sambungan kontrak baharu.
"Malangnya perkara itu tidak berlaku dan SST hanya diberikan kepada Nafas pada September setelah musim baru bermula, itu pun selepas ada desakan daripada petani," katanya ketika ditemui pemberita di di Parit 4A Sungai Manik di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kelewatan pembekalan baja di kawasan Seberang Perak, Utara Selangor dan Utara Perak melibatkan 12,000 hektar sawah itu boleh memberi risiko kemerosotan hasil sehingga 40 peratus.
Katanya, di kebanyakan kawasan, usia anak padi telah menjangkau 15 ke 20 hari dan tempoh itu memang memerlukan bekalan baja secukupnya bagi mengelak pertumbuhan terbantut.
"Kami dimaklumkan Nafas mempunyai bekakan baja yang cukup, hanya tidak dapat disalurkan kerana tiada perjanjian SST antara kedua-dua pihak.
"Besar harapan kami agar isu melibatkan kontrak seperti ini dilihat secara serius supaya masalah sama tidak berulang kerana yang menanggung beban dan menjadi mangsanya adalah petani," katanya.
Dalam pada itu, wakil petani Sungai Manik, Khairol Fikri Mohd Amin berkata, kelewatan bekalan itu mengakibatkan petani terpaksa membiarkan anak padi ditanam dalam keadaan tidak berbaja.
Ujarnya, perkara itu berlaku kerana kebanyakan mereka tidak berkemampuan untuk menyediakan baja yang memerlukan modal tinggi antara RM400 hingga RM500 bagi setiap ekar.
"Dengan tekanan kos pertanian yang tinggi sekarang ini, tak mampu beli baja RM500, kami beli yang RM100, janji ada baja.
"Tetapi bagi mereka yang tak mampu nak buat macam mana, terpaksalah biarkan anak padi begitu sahaja," katanya.