Tang Jie-Ee Wei teruskan cabaran Malaysia di Hong Kong

Iklan
Ee Wei -Tang Jie Foto: AFP

JUARA Terbuka Korea, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengikuti jejak beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir Terbuka Hong Kong pada Jumaat.

Beregu campuran nombor satu negara itu mara selepas menjinakkan cabaran gandingan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dalam aksi sengit yang berlangsung selama 61 minit.

Iklan
Iklan

Perlawanan suku akhir Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 500 di Hong Kong Coliseum, Kowloon, Tang Jie-Ee Wei yang merupakan pilihan keempat mengungguli set pertama dengan kemenangan 21-13.

Bagaimanapun set kedua, Xin Wa-Fang Hui bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-17 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Iklan

Set penentuan, Tang Jie-Ee Wei tampil lebih agresif untuk mengakhiri cabaran gandingan nombor 46 dunia tersebut dengan kemenangan 21-10 bagi pengesahan slot separuh akhir.

Kemenangan itu membolehkan gandingan nombor sembilan dunia itu akan berdepan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam aksi separuh akhir.

Iklan

Yan Zhe-Dong Ping sebelum itu mengesahkan kemaraan selepas menewaskan gandingan negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, straight set 21-13, 21-11 dalam masa 29 minit.

Cabaran juara Masters Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai juga berakhir di suku akhir selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Tang Chun Man-Tse Ying Yuet 18-21, 17-21 dalam masa 38 minit.

Turut sama meninggalkan Kowloon, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tunduk kepada wakil Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani, 18-21, 15-21 dalam masa 35 minit.