Selangor mengamuk belasah Kuching City 4-0

Iklan
Pemain Selangor FC Ronnie Allan Fernandez Saez (kiri) meraikan gol pertama Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi. Foto Bernama

SELANGOR FC menang bergaya selepas membelasah Kuching City FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat.

Kemenangan itu juga menjadi tonik semangat untuk skuad Gergasi Merah itu menjelang perlawanan saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) yang akan membuka tirainya pada khamis ini.

Iklan
Iklan

Malah, kejayaan meraih tiga mata berharga itu juga juga menyaksikan Selangor seolah-olah sudah melupakan tragedi memalukan ketika dibelasah 1-6 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala FA baru-baru ini.

Dalam perlawanan di laman sendiri itu, Selangor membuka tirai jaringan menerusi Ronnie Fernandez pada minit ke-11 selepas bola terbias dadanya sebelum masuk ke gawang gol Kuching City.

Iklan

Penyerang import baharu mereka dari Jordan, Ali Olwan menandakan kemunculan dalam saingan Liga Super dengan gol pertamanya selepas menyempurnakan hantaran Fernandez pada minit ke-67.

Selangor terus menambah derita Kuching City menerusi jaringan Umar Eshmudov pada minit ke-75 sebelum Alvin Fortes melengkapkan malam gemilang skuad Nidzam Jamil itu dengan gol keempat lima minit kemudian.

Iklan

Kemenangan itu menyaksikan Selangor terus kekal di kedudukan kedua Liga Super dengan 22 mata dibezakan tiga mata dengan pendahulu liga, JDT yang memungut 25 mata dan mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Selepas ini, Selangor dijadualkan menentang kelab Thailand, Muangthong United di Stadium Thunderdome, Nonthaburi pada Khamis depan dalam aksi ACL2 sebelum bertemu Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super pada 28 September.