Koronavirus: Tiada keperluan bawa pulang pelajar Mara di Beijing

Iklan
Rina (tengah) beramah mesra bersama penerima watikah pada Majlis Penyampaian Watikah Anggota MPKKP Negeri Pahang hari ini. -Foto Bernama

KUANTAN - Tiada keperluan dan permintaan untuk membawa pulang dua pelajar Malaysia tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menuntut di universiti di Beijing, China setakat ini susulan penularan wabak koronavirus.

Mereka adalah Muhammad Amir Joham Mohd Rozi dan Puteri Alia Sakinah Mohd Rozi yang menuntut di Beijing Foreign Student University dalam jurusan bahasa dan dijangka tamat pengajian Ogos nanti.

Iklan
Iklan

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berkata, tiada keperluan memanggil mereka pulang ke tanah air kerana keadaan di Beijing masih terkawal.

Menurutnya, jika pelajar terlibat memilih untuk pulang, mereka adalah tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) termasuk perlu mematuhi syarat kuarantin setibanya di Malaysia.

Iklan

"Untuk dua penuntut di China itu, kami sentiasa berhubung bagi mendapatkan perkembangan terkini mereka.

"Setakat ini, kedua-dua mereka juga masih belum membuat permintaan untuk pulang atau mahu menangguhkan pengajian. Jika ada, kita sedia melihat permohonan itu berpandukan kepada dasar sedia ada," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan menyempurnakan majlis Penyampaian Watikah kepada Pengerusi dan Setiausaha Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) negeri Pahang di Gambang hari ini.

Dalam program itu, sejumlah 553 watikah telah disampaikan dengan 278 daripadanya adalah watikah pelantikan pengerusi dan 275 pula pelantikan setiausaha MPKKP.

Jumlah itu meliputi sebahagian daripada 5,962 jawatan dalam 542 MPKKP yang perlu dilantik di 14 parlimen negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Rina berharap sasaran minima 30 peratus keanggotaan wanita atau bersamaan empat orang bagi setiap MPKKP dapat dicapai.

"Sehingga hari ini bagi MPKK di negeri-negeri yang ditadbir kerajaan Persekutuan, bilangan anggota MPKK wanita yang dilantik adalah 442 orang bagi jawatan pengerusi; setiausaha (1,560) dan ahli Jawatankuasa (11,096) dengan jumlah keseluruhan 13,098 anggota wanita MPKK di sembilan negeri.

"Kita harap kesemua pelantikan jawatan dalam MPKKP dapat diselesaikan secepat mungkin atau selewat-lewatnya Mac nanti," katanya.

Menurutnya, MPPKP adalah penambahbaikan struktur organisasi MPKK yang dahulunya dianggotai ahli jawatankuasa lantikan bersama kerajaan negeri, namun dinaiktaraf menjadi MPKKP bagi tujuan menjadi penyampai maklumat dan dasar kerajaan Pusat ke akar umbi.

"Ada beza antara MPKKP dan MPKK. MPKKP dilantik oleh kerajaan Persekutuan manakala MPKK dilantik oleh kerajaan negeri masing-masing termasuk di negeri yang ditadbir kerajaan pembangkang.

"Namun selepas kita dapati ada maklumat yang tidak sampai ke akar umbi, maka kita laksanakan MPKKP supaya sistem penyampaian lebih efektif dan efisien. Kita akan turun semua negeri untuk mempamerkan betapa kita peduli rakyat," katanya.

Beliau berkata, semua jawatankuasa MPKK dan MPKKP dilantik akan menjalani kursus induksi yang akan memberikan pendedahan mengenai perancangan kewangan, ekonomi dan program program kampung khususnya.