Mantapkan koordinasi Speedy Tigers

Iklan
Koordinasi Speedy Tigers perlu mantap berdepan Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Trofi Juara-Juara Asia 2024.

JURULATIH berpengalaman, I Vikneswaran menyifatkan perlawanan kemenangan ke atas Jepun menyalakan kembali impian skuad Speedy Tigers mara ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 selepas permulaan hambar dalam tiga perlawanan terdahulu.

Malah bekas pemain negara itu menegaskan perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan akan menjelmakan matlamat sebenar anak buah skuad kendalian Sarjit Singh dalam kejuaraan berkenaan.

Vikneswaran

Iklan
Iklan

"Pemain-pemain negara kombinasi senior dan junior mempamerkan karakter sebenar apabila berdepan Jepun yang semua tahu sebuah pasukan yang tidak akan mudah menyerah kalah. Jepun pun seri berdepan Korea Selatan dalam perlawanan sebelumnya.

"Sebenarnya pasukan negara mempunyai peluang yang sangat baik untuk mara lebih jauh dalam kejuaraan ini selepas kemenangan yang dilakar ke atas Jepun, paling penting mereka temui semula rentak kemenangan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan

Speedy Tigers membuka kempen saingan liga sepusingan ACT 2024 dengan mengikat Pakistan, 2-2 sebelum tewas 2-4 kepada China, diikuti 1-8 kepada India, kemudian bangkit menang 5-4 ke atas Jepun.

Selepas empat perlawanan, India memimpin kumpulan setelah mengumpul 12 mata, Pakistan (8 mata), Korea Selatan (5 mata), Malaysia (4 mata), China (3 mata) dan Jepun ( 1 mata), dengan hanya empat pasukan terbaik akan mara ke separuh akhir.

Iklan

Pada aksi terakhir Sabtu, anak buah Sarjit akan berdepan Korea Selatan dalam misi wajib menang untuk mencerahkan laluan pasukan negara ke pentas separuh akhir.

Tambah Vikneswaran lagi, elemen yang paling penting menjelang perlawanan berdepan pasukan Korea Selatan yang dibarisi kebanyakan pemain-pemain muda adalah kemampuan jentera Speedy Tigers menterjemahkan setiap peluang secara berpasukan.

Jelas Vikneswaran lagi, pasukan negara masih mampu memberikan saingan dalam kejuaraan yang menghimpunkan pasukan nama besar hoki Asia berkenaan sekiranya dilihat dari statistik setiap perlawanan.

"Kita pun sebuah pasukan yang jauh lebih berpengalaman dengan pendedahan aksi kompetitif dalam kalangan pemain senior dan junior sebelum ini.

"Paling penting ketika ini adalah melaksanakan segala perancangan taktikal jurulatih semasa perlawanan selain bermain sebagai satu unit kumpulan dan mantapkan koordinasi pasukan.

"Jangan diulangi lagi lima orang buat lain, lima lagi buat lain. Manfaatkan perlawanan berdepan Korea Selatan ini demi maruah negara,” katanya.