'Lompatan gergasi' untuk industri angkasa lepas

Iklan
Isaacman dan rakan kru, Sarah Gillis bergilir-gilir berada di luar kapal angkasa itu selama beberapa minit untuk melakukan ujian mobiliti pada sut dipakai mereka.

WASHINGTON - Sekumpulan kru bukan angkasawan terlatih mencipta sejarah menjadi perintis melakukan perjalanan angkasa (spacewalk) yang disifatkan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) sebagai kejayaan besar untuk industri angkasa lepas.

Misi Polaris Dawn di bawah SpaceX yang diketuai bilionair teknologi kewangan, Jared Isaacman, 41, dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada Selasa lalu untuk merealisasikan ekspedisi itu yang pertama kali dilakukan sejak era Apollo.

Iklan
Iklan

Keempat-empat kru itu dibawa menaiki kapal angkasa Dragon mencapai orbit pada ketinggian 700 kilometer di atas bumi, sekali gus menandakan bermulanya secara rasmi aktiviti luar kenderaan (extravehicular) atau EVA pada Khamis.

Dari kiri: Anna Menon, Scott Poteet, Jared Isaacman dan Sarah Gillis.

Misi mengujakan itu dipimpin Isaacman yang melihat pemandangan menakjubkan bumi dari Skywalker yang menggantikan pelabuhan dok biasa.

Iklan

"SpaceX, banyak kerja yang perlu kami lakukan. Dari sini, bumi kelihatan seperti planet yang amat sempurna,” katanya kepada pusat kawalan misi di Hawthorne, California di Amerika Syarikat (AS) yang kemudiannya disambut dengan tepukan gemuruh para staf.

Secara tidak langsung, ia merupakan satu lagi pencapaian penting buat SpaceX yang diasaskan bilionair sarat kontroversi, Elon Musk pada 2002.

Iklan

Sejak lebih dua dekad lalu, SpaceX telah berkembang menjadi 'kuasa besar' dalam industri berkenaan apabila ia berjaya mendahului gergasi aeroangkasa, Boeing untuk menghantar kapal angkasa bagi mengangkut angkasawan NASA ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2020.

"Kejayaan hari ini mewakili 'loncatan gergasi' untuk industri angkasa komersial dan matlamat jangka panjang NASA yang mahu membina ekonomi angkasa AS yang bertenaga,” kata Ketua NASA, Bill Nelson menerusi platform X.

Persediaan selama lebih dua tahun

Sebelum pintu utama Dragon dibuka, kru kapal berkenaan turut menjalani prosedur 'pra nafas' untuk menyingkirkan nitrogen daripada aliran darah sebelum tekanan kabin diturunkan secara berperingkat bagi sejajar dengan vakum angkasa.

Isaacman dan rakan kru, Sarah Gillis yang merupakan jurutera SpaceX bergilir-gilir berada di luar Dragon selama beberapa minit untuk melakukan ujian mobiliti pada sut dipakai mereka yang turut dilengkapi kamera helmet dan sistem pergerakan bersama.

Difahamkan, EVA biasanya berakhir selepas tempoh sejam dan 46 minit.

Antara gambar permukaan bumi yang dikongsi kru misi berkenaan.

Sebelum ini, pelopor perjalanan angkasa termasuk angkasawan Soviet pertama, Alexei Leonov pada 1965 diikat pada kapal angkasa manakala sejumlah angkawasan pesawat ulang-alik menggunakan jetpack untuk terapung secara bebas tanpa terikat dengan tali di angkasa lepas.Ketiadaan sistem sendat udara (airlock) pada Dragon menyebabkan keempat-empat kru terdedah kepada vakum angkasa.

Juruterbang Angkatan Tentera Udara AS, Scott Poteet dan jurutera SpaceX, Anna Menon akan kekal terikat sepanjang mereka memantau sistem sokongan penting.

"Risikonya adalah lebih besar berbanding sifar dan lebih tinggi berbanding apa jua yang telah dicapai secara komersial,” kata bekas pentadbir NASA, Sean O'Keefe.

Kesemua kru tersebut dikatakan sudah menjalani latihan selama lebih dua tahun sebagai persediaan untuk misi penting itu.

Antara latihan yang dilakukan mereka adalah seperti terjunan udara, selam skuba dan mendaki gunung berapi Ecuador.

Tugas yang diberikan kepada mereka termasuk menguji komunikasi satelit berasaskan laser antara kapal angkasa dan buruj satelit Starlink serta menyelesaikan eksperimen penting seperti ujian pada kanta sentuh dengan mikroelektronik bagi memantau perubahan tekanan mata dan bentuk di angkasa.

"Kami menggelarnya sebagai percubaan cyborg,” jelas Gillis.

Kru misi Polaris Dawn itu dijangka kembali semula ke bumi pada Ahad ini selepas ekspedisi itu dijadualkan mengambil masa lima hingga enam hari.

Dawn merupakan ekspedisi pertama daripada tiga misi yang dirancang di bawah program Polaris melibatkan kerjasama antara Isaacman dan SpaceX.

Syarat atau bajet sebenar projek itu bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum, namun Isaacman yang merupakan pengasas Shift4Payments pernah menanggung kos berjumlah AS$200 juta (RM955 juta) untuk menerajui misi komersial, Inspiration4 pada 2021.

Misi akhir Polaris pula bertujuan membawa kru pertama dengan prototaip roket, Starship yang menjadi kunci cita-cita tinggi Musk untuk 'menjajah' planet Marikh bagi didiami manusia. - AFP