KUALA KANGSAR - Disebabkan tidak pandai membaca surah Yasin ketika anak kedua meninggal dunia, seorang ibu nekad mempelajari al-Quran di usia emas.
Bagi Noor Katany Luthfi, 60, peristiwa lebih 10 tahun lalu itu menjadi titik permulaan buat dirinya mendekatkan diri dengan al-Quran.
Menurutnya, hati tersentak ketika menemani jenazah anak untuk dibawa ke tanah perkuburan apabila bacaan surah Yasin dipasang di dalam van jenazah tidak dapat dibacanya.
"Masa muda memang kita belajar mengaji tapi kemudian dah lama tak baca jadi lupa. Yang boleh tersentak rasa nak mengaji itu, ALLAH duga saya dengan ambil anak saya nombor dua.
"Anak saya meninggal umur 20 tahun dan dia mengaji pondok. Saya ikut van jenazah tapi saya tak boleh baca. Pemandu van jenazah pasang rakaman surah Yasin, jadi saya ikut bacaan itu.
"Dari situ saya tersedar bagaimana seorang ibu yang tak boleh bacakan surah Yasin untuk anak. Itu yang buat terasa sangat, macam kita kena satu tamparan yang hebat,” katanya sebak ketika ditemui di Rumah Ngaji Aisy Karimah di sini.
Rentetan peristiwa itu, Noor Katany kemudiannya nekad membuang rasa malu dan belajar mengaji.
Katanya, Rumah Ngaji Aisy Karimah yang diasaskan Penasihat Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah menjadi tempatnya menimba ilmu hingga kini.
Menurut ibu kepada enam anak itu, bermula mengenal huruf Alif, Ba, Ta, kini dia khatam al-Quran dua kali setahun.
"Kita dah berumur baru nak belajar mengaji memang kita akan rasa rendah diri, malu dan takut orang akan kata kita tak pandai mengaji.
"Kalau boleh buanglah rasa malu, rendah diri nak belajar mengaji sebab dengan ALLAH kita tak malu buat dosa, kenapa dengan orang kita patut malu. Saya berpegang dengan kata-kata itu.
"Seronoknya bila dah mengenali al-Quran ini, kalau satu hari tak mengaji rasa tak senang duduk, kalau dapat dua tiga baris merangkak baca pun rasa seronok sangat. Bagi saya janganlah lupa mengaji, kalau kita lupa al-Quran, ALLAH akan tutup pintu hati kita untuk mengenal al-Quran,” katanya.