Apot 'The Big Nose Trekker' meninggal dunia

Iklan
Apot Saad meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru dan sesak nafas di Hospital Kampar pada Jumaat. Foto PDRM

IPOH - Bekas anggota Senoi Praaq, Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saad yang pernah menerima Pingat Gagah Berani atas jasa dan baktinya kepada negara menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kampar pada Jumaat.

Mendiang berusia 75 tahun meninggal dunia kira-kira jam 12.40 tengah malam akibat jangkitan kuman di paru-paru dan sesak nafas.

Iklan
Iklan

Menurut anaknya, Sarjan Mulyadi Apot berkata, ayahnya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 1 September lalu bagi menerima rawatan berikutan keadaannya yang semakin uzur selain mengalami strok.

"Jasad mendiang akan dibawa pulang ke rumah di Batu Barangkai, Kampar untuk penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Mendiang meninggalkan seorang balu, Krig Sudin, 80, dan empat anak.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga mendiang.

Iklan

"Jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh mendiang sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan kepada pasukan dan negara," katanya.

Apot yang digelar 'The Big Nose Trekker' dalam pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), VAT69 Komando dilaporkan mengalami strok dan menerima rawatan di hospital sama sejak April lalu.

Karier Apot dalam PDRM bermula sebagai anggota Senoi Praaq sebelum beralih ke VAT 69 pada 1970. Beliau dianggap antara kalangan perintis Orang Asli negara yang berjuang menentang komunis.

Sering diletakkan di barisan hadapan, Apot yang pernah menyertai 15 pertempuran sejak diserap dalam VAT69 Komando tidak pernah mengecewakan pasukannya.

Kebolehan Apot yang dianggap pakar penjejak menyebabkan Orang Asli dari kaum Semai ini digeruni pengganas komunis.

Antara operasi yang membawa kejayaan adalah Ops Catfish, Ops Kambing, Ops Bamboo, Ops Manis dan Ops Indera antaranya di Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak.