PRK Mahkota: Zahid akui undi 50 peratus pengundi luar cabaran buat BN

Iklan
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengiringi calon BN Syed Hussien Syed Abdullah pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada Sabtu. Turut sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Foto Bernama

KLUANG - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui undi melibatkan kira-kira 50 peratus pengundi yang menetap di luar DUN Mahkota menjadi cabaran buat BN untuk mengekalkan kemenangan.

Sehubungan itu menurutnya, kerjasama dilakukan bersama parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan memastikan kumpulan tersebut pulang mengundi.

Iklan
Iklan

"Banyak cabaran yang harus kita santuni dari dalam dan luar untuk pengundi keluar mengundi.

"Antara cabaran, isu bersifat nasional pasti akan digunakan. (Selain itu) kita dapati kira-kira 50 peratus pengundi DUN Mahkota adalah pengundi yang tinggal di luar kawasan Dun, termasuk luar kawasan Kluang.

Iklan

"Ramai juga yang bekerja di Singapura. Tapi melalui perundingan dengan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, kita cari jalan untuk minta mereka pulang mengundi pada 28 September ini," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK DUN Mahkota, di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pada Sabtu.

Ditanya sejauh mana BN mampu mengekalkan kerusi yang disandang, beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak terlalu meletakkan keyakinan sebagai asas.

Iklan

Namun katanya, usaha memastikan kemenangan memihak semula kepada BN tidak akan diabaikan.

"Kita bersyukur kerana sebelum ini kita menang lebih 5,200 undi.

"Bekas ADUN juga dah berikan perkhidmatan yg sangat baik sebelum ini. Ia memudahkan calon kita meneruskan kesinambungan bagi kawasan ini," katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Syed Hussien (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.