TEMERLOH - Pas mengulangi pendiriannya untuk tidak sesekali menyertai atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam sebarang bentuk.
Malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu akan kekal berdiri teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar.
"Pas akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak golongan yang telunjuknya lurus, tetapi kelengkengnya berkait.
"Pas memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, Pas tetap berpandukan al-Quran, sunnah serta ijtihad melalui pengalaman dengan memilih pendekatan demokrasi damai dan perpaduan umat.
Menurutnya, ia bagi menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera.
"Ini bagi menjamin keindukkan Islam dan Melayu kekal terpelihara di tanah air tercinta ini.
"Marilah kita memperkukuh saf perjuangan dengan agenda tarbiah yang dilaksanakan di setiap peringkat, seterusnya melebarkan pengaruh parti, kepimpinan dalam masyarakat dengan agenda dakwah dan politik.
"Semoga segala usaha ini diterima oleh ALLAH sebagai amal yang soleh,” ujarnya.