SHAH ALAM - Sikap tamak untuk mengejar kemewahan melalui jalan singkat dengan melakukan tuntutan palsu atau rasuah bakal mengakibatkan imej dan reputasi syarikat tercemar.
Naib Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, istilah seperti tumbuk rusuk, duit kopi, wang tepi, duit bawah meja dan lain-lain tidak sepatutnya menjadi norma dalam sistem perkhidmatan negara.
"Ia akan menghancurkan integriti dan amanah rakyat serta kesetiaan kepada negara.
"Selain itu, pihak yang terbabit dalam jenayah berkenaan juga kehilangan pekerjaan hakiki.
"Lebih parah, syarikat atau agensi terlibat berkemungkinan hilang kepercayaan masyarakat kerana wang yang sepatutnya diberikan kepada rakyat digunakan untuk kepentingan peribadi pihak tidak bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan tuntutan palsu.
Wanita berusia 40-an itu disyaki menyalahgunakan jawatannya untuk menyokong pelantikan syarikat milik suaminya bagi mendapatkan kontrak pembekalan pekerja berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
Suspek juga disyaki bersubahat dengan seorang lagi wanita yang juga pemilik syarikat berusia 50-an dengan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung ujian saringan Covid-19 dan pembekalan barangan plastik masing-masing bernilai RM2,000.
Dalam pada itu, Zairudin memaklumkan, perlakuan rasuah seperti mengemukakan tuntutan palsu berlaku disebabkan kecenderungan dan keghairahan untuk menikmati gaya hidup mewah melebihi kemampuan diri dalam tempoh yang singkat.
Ujarnya, antara punca lain adalah wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah serta tahap integriti yang rendah di kalangan pegawai terbabit.
"Semua pihak perlu ada kesedaran serta keberanian bertindak untuk segera melaporkan kesalahan tuntutan palsu yang dilakukan oleh staf kepada Unit Integriti agensi masing-masing bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap aduan tersebut.
"Ketua jabatan atau penyelia juga wajib memainkan peranan dalam aspek penyeliaan staf bawahan khususnya semasa membuat sebarang tuntutan agar syarikat atau jabatan dapat mengamalkan tadbir urus yang baik dan bebas daripada rasuah," katanya.