PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil gembira dengan persembahan ditunjukkan para pemainnya selepas membelasah Kuching City FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat.
Menurutnya, perkara paling penting meraih tiga mata berharga selain terus kekal di kelompok teratas liga.
"Kita gembira menang dapat tiga mata dan kekal di kelompok teratas liga. Di Piala FA sebelum ini, kita bermain dengan Kuching juga (suku akhir) dan perlawanan lebih dramatik.
"Tetapi hari ini kita berbeza dan sudah tentu paling penting kita gembira pemain yang pulang dari tugasan antarabangsa tidak cedera dan dapat siapkan pasukan dalam beberapa hari," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, skuad gergasi merah tampil mendominasi perlawanan dan meledak empat gol menerusi Ronnie Fernandez, Ali Olwan, Umar Eshmudov dan Alvin Fortes.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor terus kekal di kedudukan kedua Liga Super dengan 22 mata dibezakan tiga mata dengan pendahulu liga, JDT yang memungut 25 mata dan mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Selepas ini, Selangor dijadualkan menentang kelab Thailand, Muangthong United di Stadium Thunderdome, Nonthaburi pada Khamis depan dalam aksi ACL2.
Dalam pada itu, Nidzam turut mengakui kemenangan ke atas Kuching itu sedikit sebanyak memberikan tonik tambahan kepada pasukan menjelang aksi ACL2 itu.
"Ini adalah pengalaman pertama kita selepas tujuh atau lapan tahun di luar Asia, sudah tentu kemenangan ini membangkitkan motivasi.
"Kemenangan itu menyaksikan Selangor terus kekal di kedudukan kedua Liga Super dengan 22 mata dibezakan tiga mata dengan pendahulu liga, JDT yang memungut 25 mata dan mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
"Tetapi, pentas Asia ini sangat berbeza, kita kena tingkatkan banyak perkara untuk bersaing di pentas Asia," katanya.