ALOR SETAR - Dua pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra dan ICQS Bukit Kayu Hitam mengalami kesesakan luar biasa berikutan peningkatan mendadak jumlah pelancong yang memanfaatkan cuti sekolah untuk bercuti ke Thailand.
Sejak awal pagi, kenderaan beratur panjang sejauh 800 meter di pintu sempadan Malaysia-Thailand, yang menghubungkan Kota Putra dengan Ban Prakob, Thailand.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, sebanyak 30,754 pengembara telah keluar masuk melalui ICQS Bukit Kayu Hitam setakat ini.
Beliau berkata, pengembara Malaysia menjadikan Hatyai sebagai destinasi popular, terkenal sebagai syurga makanan dengan hidangan yang murah dan lazat.
"Populariti Hatyai dalam kalangan pelancong Malaysia telah menyumbang kepada lonjakan pelawat sepanjang musim cuti ini.
"Sehubungan itu, JIM Kedah telah mengambil langkah segera dengan menambah bilangan kaunter pemeriksaan imigresen di kedua-dua ICQS, Kota Putra dan Bukit Kayu Hitam bagi menangani keadaan ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menambah, langkah ini bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen perjalanan pelancong serta memperbaiki aliran trafik di kawasan sempadan.
Katanya, penguatkuasaan trafik juga dipertingkat di jalan-jalan utama menuju ke sempadan bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pergerakan lancar.
Menurut beliau, JIM Kedah menasihati semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa serta memberikan kerjasama penuh kepada pegawai bertugas.
"Orang ramai juga digalakkan merancang perjalanan mereka lebih awal, memantau perkembangan trafik melalui saluran rasmi dan memilih waktu yang sesuai bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan yang lebih teruk," katanya.
Beliau memaklumkan, pelancong turut diingatkan untuk memastikan dokumen perjalanan mereka sah dan lengkap bagi mengelakkan sebarang kesulitan di sempadan.
Sementara itu, Ketua Imigresen ICQS Kota Putra, Shafarina Othman berkata, jumlah pelancong yang melalui pintu sempadan ini meningkat hampir 40 peratus berbanding hari-hari biasa.
"Destinasi seperti Hatyai, Pattani, dan Songkhla menjadi tarikan utama pelancong tempatan, dengan peningkatan ketara dalam jumlah kenderaan yang memasuki Thailand sejak semalam,” katanya.
Pada hari biasa, sekitar 400 hingga 600 pelawat menggunakan ICQS Kota Putra, tetapi semalam sahaja, jumlah itu melonjak kepada 1,868 orang dengan keadaan ini dijangka berterusan sepanjang cuti sekolah.
Keadaan serupa juga berlaku di ICQS Bukit Kayu Hitam, pintu masuk utama di Utara.
Sejak Khamis lalu, kesesakan di sini menjadi semakin teruk apabila jumlah pengembara yang menuju ke Thailand bertambah drastik.