TUMPAT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memperkenalkan Program Penyeragaman Harga bagi memastikan lebih 4,000 penduduk di Kepulauan Tumpat di sini tidak lagi perlu membayar mahal untuk barangan subsidi.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, jika sebelum ini penduduk terpaksa membayar RM3.50 bagi sepeket minyak masak dan seliter minyak petrol disebabkan oleh kos pengangkutan.
"Di sini hanya terdapat pengangkutan air yang menghubungkan di antara kepulauan serta pekan dan bandar berhampiran.
"Kalau ikutkan pada peta, jarak Kepulauan di Tumpat dengan Bandar Kota Bharu hanya sekitar empat kilometer.
"Tetapi disebabkan menggunakan pengangkutan air, mereka terpaksa mengenakan harga yang tinggi kepada penduduk.
"Namun tidak lagi sekarang apabila Program Penyeragaman Harga telah dilaksanakan sejak Julai lalu," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Inisiatif Pendigitilan Sektor Peruncitan di Pasar Terapung dan Pelancaran Program Penyeragaman Harga Zon Tumpat di Pulau Sri Tanjong di sini.
Menurut beliau, melalui program ini kerajaan melantik transporter untuk membeli bekalan daripada pembekal, menguruskan punca bekalan dan seterusnya menghantar serta menjual di Point Of Sales (POS) di kawasan pengedaran.
Ujarnya, POS seterusnya menjual bekalan tersebut pada harga yang ditetapkan dan kerajaan akan menanggung kos pengangkutan transporter terbabit.
Dalam perkembangan sama, Azman memberitahu, di Kelantan terdapat tiga zon yang terlibat dengan Program Penyeragaman Harga selain Zon Tumpat, ia juga dilaksanakan di Dabong dan Pasir Kelang, Kuala Krai.
"Jika di Zon Tumpat ada empat POS, manakala Dabong mencatatkan POS tertinggi iaitu 13 dan Pasir Kelang (5).
"Program ini telah dimulakan di Dabong sejak tiga tahun lalu, manakala di Pasir Kelang dan Tumpat baharu tahun ini," katanya.