'Ayah nasihat buat kerja penuh integriti, setia' - Anak Sarjan Apot

Iklan
Mulyadi memimpin tangan ibunya, Krig untuk melihat wajah mendiang Apot buat kali terakhir di kediamannya di Kampung Batu Berangkai, Kampar.

KAMPAR -"Buatlah bekerja dengan penuh integriti, jujur dan setia," demikian nasihat bekas anggota Senoi Praaq, Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saad, 75, kepada anak lelakinya yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Sarjan Mulyadi Apot, 42, berkata, nasihat itu sering diingatkan setiap kali bertemu sebelum ayahnya terlantar kerana menghidap strok sejak November tahun lalu.

"Nasihat itu sangat bererti selain meminta tidak melanggar undang-undang berikutan saya satu-satunya yang mengikut jejak langkahnya menyarung seragam polis.

Iklan

"Banyak tunjuk ajar diberikan selain meminta saya jaga keluarga dan kesihatan. Saya rasa sedih kerana tidak banyak ilmu yang diperoleh daripadanya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu Berangkai di sini pada Sabtu.

Tangkap layar video aksi Apot. Foto: ihsan video Jakoa

Apot yang digelar 'The Big Nose Trekker' dalam pasukan elit PDRM, VAT69 Komando dilaporkan menghembus nafas terakhir kira-kira jam 12.40 tengah malam pada Jumaat di Hospital Kampar akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan sesak nafas.

Iklan

Mulyadi yang berkhidmat di Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu berkata, ayahnya sering ulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Kampar sejak hampir setahun lalu.

"Ayah dimasukkan ke hospital sejak 1 September kerana sesak nafas dan saya sudah mula bercuti selama dua minggu untuk menjaganya.

"Malam tadi waktu sampai, saya mahu menjaga tetapi ibu, Krig Sudin, 77, meminta saya berehat kerana sudah menempuh perjalanan jauh.

"Namun, beberapa jam kemudian abang memaklumkan yang ayah sudah pergi. Terkilan juga tidak sempat menatapnya buat kali terakhir," katanya.

Mulyadi

Tambah Mulyadi, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris yang membantu memudahkan urusan sebelum mendiang akan disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai.

Karier Apot dalam PDRM bermula sebagai anggota Senoi Praaq sebelum beralih ke VAT 69 pada 1970.

Beliau dianggap antara kalangan perintis Orang Asli negara yang berjuang menentang komunis.

Azizi (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada balu kepada Apot, Krig ketika melawat ke kediaman keluarganya di Kampung Batu Berangkai, Kampar pada Sabtu.

Sering diletakkan di barisan hadapan, Apot yang pernah menyertai 15 pertempuran sejak diserap dalam VAT69 Komando tidak pernah mengecewakan pasukannya.

Kebolehan Apot yang dianggap pakar penjejak menyebabkan Orang Asli dari kaum Semai ini digeruni pengganas komunis.

Antara operasi yang membawa kejayaan adalah Ops Catfish, Ops Kambing, Ops Bamboo, Ops Manis dan Ops Indera antaranya di Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak.