GISBH: Elak keruhkan keadaan, Jakim ada prosedur perlu diikuti

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohd Azmi

SHAH ALAM - Setiap kes yang berkaitan dengan pelanggaran undang-undang memerlukan siasatan mendalam sebelum tindakan diambil.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tuduhan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpeluk tubuh dalam isu GISB Holdings (GISBH) adalah tidak wajar sama sekali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika melibatkan sebarang tangkapan dan pendakwaan, wujud bidang kuasa dan prosedur yang perlu dihormati.

"Agensi berkaitan termasuk Jakim telah menjalankan fungsi berdasarkan mandat dan prosedur. Mereka yang mengeluarkan pendapat secara terbuka perlu memperhalusi bidang kuasa agensi yang berkaitan.

Iklan

"Setelah siasatan dimulakan, tahanan dan kenyataan diambil, agensi berkaitan harus diberi ruang untuk bertindak mengikut bidang kuasa yang dimandatkan. Pihak lain tidak wajar memanaskan keadaan sehingga menuding jari mencari kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Seorang ahli akademik, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin sebelum ini mempersoalkan peranan Jakim dalam isu GISBH dan menyatakan agensi itu perlu dirombak kerana tindakan yang didakwa agak lewat diambil ke atas entiti berkaitan GISBH.

Iklan

Beliau juga mendakwa, ada beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu memberi perhatian serius kepada dapatan kumpulan pengkaji serta aktivis yang memantau GISBH.

Mohd Azmi menambah, isu berkenaan perlu ditangani dengan bijak, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan campur tangan yang merumitkan lagi proses menanganinya.

"Jakim perlu diyakini sebagai agensi yang telah menjalankan tugas mengikut prosedur dimandatkan. Mendakwa tidak menjalankan kerja secara semberono tidak wajar.

"Persoalan yang sedang ditangani sekarang tidak semudah yang difikirkan. Apa yang perlu sekarang ialah kerjasama pihak yang berkaitan sehingga penyelesaian tuntas diambil.

"Salah fakta dan sentimen melulu akan menyebabkan prasangka dan fitnah tersebar,” jelasnya.