Rumah amal, sekolah agama ada kaitan GISBH disiasat - MAIS

Iklan
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

SHAH ALAM - Sekolah agama terlibat kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran sesat akan ditutup dan dibatalkan pendaftarannya di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, amaran tegas itu dikeluarkan susulan tangkapan dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas laporan kesalahan pengabaian serta penganaiayaan termasuk kesalahan seksual terhadap penghuni di 20 rumah amal dikaitkan dengan syarikat GISB Holdings (GISBH).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pegawai penguat kuasa agama dan nazir sekolah Islam di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarahkan membuat siasatan segera terhadap semua rumah amal dan sekolah Islam yang mempunyai kaitan dengan GISBH serta rangkaiannya.

"Ini untuk memastikan tiada ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar disebarkan di rumah amal dan sekolah Islam tersebut.

Iklan

"Jika didapati terdapat yang terlibat dengan ajaran menyeleweng daripada agama Islam, maka penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 hendaklah dibuat dengan kadar segera.

"Sekolah agama yang telah dikenal pasti terlibat dengan kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran menyeleweng daripada agama Islam juga hendaklah dibatalkan pendaftarannya di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, MAIS memberikan sokongan padu terhadap usaha keras PDRM yang bertindak atas laporan kesalahan pengabaian serta penganaiayaan termasuk kes seksual tersebut.

"MAIS juga mengarahkan JAIS berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM serta agensi penguatkuasaan lain untuk membanteras sebarang kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah di Selangor.

"MAIS menasihati semua umat Islam sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran atau fahaman yang mencurigakan," katanya.

Selain itu katanya, masyarakat Islam juga perlu sentiasa cakna dengan ajaran atau fahaman yang telah difatwakan sebagai ajaran yang menyeleweng untuk mengelak terjerumus atau terlibat dengan ajaran tersebut.

"Ia merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

" MAIS juga menyeru orang ramai untuk memberi maklumat kepada PDRM atau JAIS bagi memastikan siasatan yang terperinci berhubung dengan GISBH dapat dilakukan dan tindakan penguatkuasaan dapat diambil mengikut peruntukan undang- undang yang berkuat kuasa," katanya.