Lima tahun hadapi masalah bekalan air

Iklan
Penghuni Taman Sri Rugading Tuaran terpaksa menggunakan puluhan bekas seperti tong gelen dan baldi untuk mengangkut air bersih yang dibekalkan lori tangki air Majlis Daerah Tuaran (MDT) hari ini.

TUARAN - Lebih 500 penghuni empat blok rumah di Taman Sri Rugading di sini hanya mampu mengeluh selepas pelbagai ikhtiar dilakukan bagi menghadapi masalah bekalan air paip di kediaman mereka yang sering putus sejak hampir lima tahun lalu sehingga kini ia menemui jalan buntu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Rugading, Sarip Shah Bakil berkata, blok kediaman yang sering terjejas akibat ketiadaan air paip itu ialah Blok F, G, J dan O, dengan setiap blok mengandungi 100 unit rumah.

Iklan
Iklan

"Masalah putus bekalan dialami penghuni taman perumahan ini sudah hampir lima tahun, tidak tahu apa punca sebenar sampai begitu lama, walaupun perkara ini sudah dimaklumkan beberapa kali kepada pengurusan taman perumahan," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, penghuni sudah bosan dengan jawapan pengurusan taman perumahan itu yang sering memberi alasan masalah tiada air di situ berpunca tekanan air rendah diterima dari loji Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di Tamparuli dan pam rosak.

Iklan

"Apa yang menjadi tanda tanya ialah jika tekanan air rendah, bagaimana 18 blok bangunan rumah lain di sekitar lokasi sama boleh mendapat bekalan air paip yang cukup tanpa masalah," katanya.

Penghuni sudah bosan dengan jawapan pengurusan taman perumahan itu yang sering memberi alasan masalah tiada air di situ berpunca tekanan air rendah diterima dari loji JANS di Tamparuli dan pam rosak.

Sarip berkata, Taman Sri Rugading keseluruhannya mempunyai 22 blok bangunan didiami 26,063 penghuni dengan setiap unit disewakan kepada golongan berpendapatan rendah dan setinggan selepas siap dibina pada 2008.

Iklan

Seorang penghuni yang ditemui, Mukadis Sinjan, 70, mendakwa pernah berlaku beberapa kali rumah di empat blok bangunan terbabit tidak menerima bekalan air paip selama sebulan, memaksa penghuni mendapat bekalan bahan itu dari tangki surau berhampiran.

"Ketika ini, boleh dikatakan bekalan air paip disalurkan kepada rumah di empat blok bangunan terbabit hampir tiada langsung sejak beberapa hari kebelakangan ini.

"Sampai bila penghuni taman perumahan ini terus mengharungi masalah air paip, sedangkan kesulitan itu berlanjutan hampir lima tahun tanpa tindakan benar-benar dapat menyelesaikan permasalahan itu," katanya.

Semalam Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau semasa turun padang untuk melihat sendiri punca masalah itu dilaporkan meminta supaya JANS menyelesaikan segera masalah berkenaan. - Bernama