Pegawai awam pilih SSPA tidak terjejas malah dapat pelarasan gaji

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pegawai awam berstatus tetap dan berpencen yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bukan sahaja tidak terjejas malahan akan menerima pelarasan gaji.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan di bawah SSPA, pegawai berstatus kontrak juga layak menerima pelarasan gaji.

Iklan
Iklan

Menurut JPA, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan dan kepuasan kerja semua pegawai awam tanpa mengira status perjawatan.

"Kepada pegawai awam yang tidak memilih opsyen SSPA dan ingin kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berstatus tetap dan berpencen pula, pencen anda juga kekal dan tidak terjejas, berkhidmatlah seperti biasa namun anda tidak akan menikmati pelarasan gaji seperti di bawah SSPA,” menurut kenyataan itu.

Iklan

JPA turut memaklumkan bahawa sebagai langkah tambahan, sesi libat urus (SLU) akan diadakan bagi memberikan penjelasan yang lebih mendalam mengenai pemilihan opsyen SSPA itu.

Sesi pertama dijadualkan berlangsung pada Selasa depan (17 September) diikuti siri jelajah yang meliputi setiap kementerian serta jabatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak manakala penerangan secara dalam talian juga akan diadakan.

Iklan

Kenyataan itu menyebut semua pegawai awam, termasuk yang berstatus kontrak, adalah dijemput untuk menghadiri sesi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjelaskan sebarang pertanyaan yang mungkin timbul.

"JPA komited untuk memastikan kesejahteraan pegawai awam terjamin dan berharap SLU ini akan memberi manfaat yang jelas kepada semua pihak.

"FB Live JPA bertajuk SSPA: Pencen kekal juga akan diadakan pada 19 September ini selama satu jam bermula 10 pagi untuk pencerahan bersama,” katanya. - Bernama