Pelajar tahfiz perlu dipersiap berdepan Islamofobia - PM

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Himpunan 24,000 Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu golongan pelajar huffaz dipersiapkan dengan ajaran Islam yang sebenar bagi berdepan kelompok Islamofobia dan pihak yang menanam kebencian menerusi Islam di negara ini.

Beliau berkata, hal ini kerana agama Islam di negara ini berada dalam persimpangan disebabkan kelompok itu yang mencemarkan kesuciannya.

Iklan
Iklan

"Sebab itu anak-anak (huffaz) sekalian terus tumpu dalam amalan kita. Yakin bahawa masa depan kita cemerlang. Tetapkan pendirian bahawa mesej Islam ini mesej kebenaran, risalah Islam ini risalah keadilan, menyatukan dan penuh dengan rahmah dan kasih sayang, ini yang harus kita tetapkan.

"Kita faham hak bukan Islam tetapi jangan dia bawa fahaman barat Islamofobia, tak boleh sebut pasal Islam. Jadi, kita harus berdepan pihak ini,” katanya.

Iklan

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan 24K Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan di sini pada Sabtu.

Majlis Himpunan 24,000 Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan pada Sabtu. Foto Bernama

Perdana Menteri berkata, negara ini juga berdepan dengan kelompok yang membawa Islam dengan penuh kebencian dan hanya melihat kumpulan yang bersama-sama mereka sahaja yang baik.

Iklan

"Orang lain semua tak baik. Kalau kerajaan semua jahat, yang baik hanya kabilah dan kelompok mereka. Ini jenis asabiyah yang akan merosakkan sendi kekuatan masyarakat.

"Jadi kita terpaksa berdepan dua perkara ini, di satu pihak Islamofobia, yang satu lagi mereka sahaja kelompok Islam," kata Anwar.

Mengenai Himpunan 24K Huffaz, beliau menyifatkan majlis berkenaan sebagai satu platform yang bermakna dan ikhtiar bagi mengumpulkan para huffaz serta menanam semangat cintakan al-Quran.

Perdana Menteri berkata, penganjuran himpunan berkenaan sekali gus membuktikan bahawa Kerajaan Madani mempunyai prinsip jelas iaitu pembangunan untuk agama Islam.

Anwar berkata, malah Kerajaan Madani turut mementingkan masa depan pelajar tahfiz dengan memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama semua kementerian.

"Mengapa kita perlu TVET? Kerana pelabur datang... kerana Malaysia dijadikan medan terpenting di Asia Tenggara untuk (sektor) semikonduktor. Lepas ini pula kecerdasan buatan. Ini semua kita beri peluang kerana kita tidak mahu anak-anak huffaz ketinggalan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis Himpunan 24K Huffaz mengumpulkan lebih 24,000 huffaz dari seluruh negara antaranya pelajar dan guru tahfiz serta alim ulama dari 1,500 madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta).

Himpunan berkenaan dicetuskan semula oleh Ahmad Zahid yang mahu meletakkan agenda pengislahan generasi masa hadapan dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting.

Objektif lain Himpunan 24K Huffaz bertemakan 'Huffaz Tonggak Modal Insan Negara' itu ialah bagi memartabatkan al-Quran, mengukuhkan silaturahim, mendidik, menginspirasi serta memperkasakan generasi berasaskan nilai-nilai al-Quran untuk manfaat sosial masyarakat dan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan dalam majlis itu, beliau juga telah melancarkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) 2.0 bagi penambahbaikan kepada sistem penilaian yang bersepadu untuk mengiktiraf penghafaz 30 juzuk al-Quran.

"Semoga STM 2.0 ini akan membuka peluang lebih besar kepada para huffaz melanjutkan pendidikan sesuai dengan tuntutan perubahan zaman," kata beliau.

Perdana Menteri juga berharap anak-anak huffaz tidak putus untuk berdoa agar negara terus makmur dalam menghadapi pelbagai cabaran demi kepentingan rakyat.

"Para huffaz menggunakan ilmu dan kemahiran hafalan yang dimiliki untuk membawa mesej Islam sebagai agama rahmah, menyeru kepada kebenaran dan keadilan serta memupuk perpaduan," katanya.