Polis siasat kes resit tertera perkataan hina Islam

Iklan
Polis membuka kertas siasatan berhubung gambar resit pembelian makanan segera yang tertera perkataan menghina Islam.

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengenal pasti individu yang membuat pesanan makanan segera di Taman Inderawasih di sini, dengan menyertakan ayat menghina Islam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat pekerja kedai makanan segera berkenaan pada Jumaat berhubung pesanan makanan yang diterima mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pesanan makanan yang diterima secara dalam talian melalui laman web syarikat itu mengandungi catatan pesanan yang menghina agama Islam.

"Ekoran laporan yang diterima pihak polis telah menjalankan siasatan terhadap individu yang dipercayai membuat pesanan berkenaan, namun individu terbabit menafikannya.

Iklan

"Individu terbabit mendakwa butiran peribadi miliknya disalah guna pihak yang tidak bertanggungjawab, selain mendakwa laman web berkenaan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan pengguna untuk membuat pesanan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Helmi berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Iklan

Terdahulu tular di laman sosial resit tempahan pembelian makanan segera yang tertera ucapan menghina Islam yang berlaku di negeri ini.

Rata-rata warganet melahirkan rasa kesal berikutan insiden sama berulang sekali lagi dan mahu siasatan serta tindakan tegas dikenakan pihak berkuasa kerana ia menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R).