SHAH ALAM - Dinding bangunan yang sebelumnya kosong, buruk dan pudar kini memberikan panorama berbeza apabila ia dijadikan tempat untuk mencurahkan bakat seni oleh seorang pesawah, Hasbullah Matt.
Biarpun belajar sendiri seni lukisan menerusi laman sosial, bakat anak kelahiran Jitra Kedah ini kerap menjadi pilihan ramai pihak yang mahukan hasil seninya menjadi hiasan untuk menceriakan premis mereka.
Hasbullah, 32, berkata, antara jenis lukisan mural yang mendapat permintaan adalah floral, realistik dan sekolah.
"Ia bermula dari minat melukis sejak kecil. Disebabkan peluang kerja terhad dengan kelayakan yang ada, saya mula melukis pada 'chalkboard' untuk majlis perkahwinan.
"Setelah permintaan semakin kurang, saya beralih kepada lukisan mural. Saya belajar sendiri dari laman sosial artis-artis mural yang berpengaruh sebelum mencubanya sendiri,"katanya kepada Sinar Harian.
Menurut bapa kepada seorang anak ini, dia mula terlibat dengan serius pada tahun 2023.
Jelasnya, selepas bapanya meninggal, dia pulang ke kampung bersama isteri dan menyambung legasi sebagai pesawah.
"Minat melukis sangat kuat jadi isteri saya cadangkan untuk buka akaun TiTtok dan paparkan kerja seni untuk tambah punca pendapatan.
"Alhamdulillah satu video saya tular dan tempahan mula masuk," ujarnya.
Hasbullah yang pernah mendapat tempat keempat dalam satu pertandingan 'Wall Battle' di Laman Seni Seksyen 7 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut memberitahu, cabaran dalam melukis mural tidak menentu bergantung kepada dinding sama ada tempat tertutup atau terbuka.
Tambah Hasbullah, biasanya lukisan mural pada dinding kawasan terbuka lebih banyak cabaran.
"Cuaca yang tidak menentu adalah cabaran paling besar selain kesihatan diri. Bagi tempoh masa juga banyak bergantung kepada cuaca, kesukaran corak dan keluasan dinding itu sendiri.
"Oleh itu, saya berharap orang ramai lebih menghargai nilai seni mural dan bukan menganggap bahawa pelukis mural ini datangnya dari insan- insan kurang dari segi akademik.
"Kebanyakan rakan pelukis mural saya kenal datang dari latar belakang akademik tinggi tetapi minat dan peluang dalam hidup yg membawa mereka ke dunia seni mural," jelasnya.