PENJAGA gol Liverpool, Alisson Becker mengkritik cara permainan Nottingham Forest yang disifatkannya hanya mahu bertahan semasa tewas mengejut 0-1 di Anfield pada Sabtu.
Callum Hudson-Odoi menjaringkan gol pada minit ke-72 untuk memastikan tiga mata buat pelawat sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada Liverpool dan pengendalinya, Arne Slot.
Walaupun Forest berjaya menjaringkan gol, Alisson mengkritik pasukan lawan itu kerana pendekatan konservatif mereka sepanjang perlawanan.
"Memang memalukan, kehilangan mata di laman sendiri dan ia tidak bagus sama sekali. Tetapi lawan hari ini hanya mahu bertahan dan bermain hantaran jauh.
"Kami memberikan mereka ruang terlalu mudah untuk mereka menjaringkan gol. Kami akui kelemahan pertahanan.
"Kami tidak dapat mencipta banyak peluang dan kekurangan kualiti hari ini. Kami sepatutnya mempamerkan persembahan lebih baik dan tidak seharusnya kehilangan mata.
"Semua peluang yang kami ada tidak cukup baik dan mereka bertahan dengan hebat," katanya.
Selepas ini, Liverpool akan bertandang ke Itali menentang AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA pada Rabu.