Anggota tentera miliki ijazah melalui WBL akan dikaji - Khaled Nordin

Iklan
Anggota tentera di negara ini berkemungkinan memiliki ijazah menerusi Program Pembelajaran berasaskan Kerja pada masa depan.

PORT DICKSON - Kementerian Pertahanan Malaysia akan mengkaji keperluan untuk membolehkan anggota tentera di negara ini memiliki ijazah menerusi Program Pembelajaran berasaskan Kerja dalam peningkatan kerjaya mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini program berkenaan dimulakan dengan pemberian diploma yang dilalui oleh anggota tentera yang terlibat.

Mohamed Khaled menyampaikan anugerah kepada perajurit terlibat.

Iklan
Iklan

"Kita mulakan dengan diploma dahulu sebab ramai yang masuk melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Nanti kita akan kaji mana satu Program Pembelajaran berasaskan Kerja atau WBL boleh dapat ijazah.

"Sebab pengalaman saya sebagai Menteri Pengajian Tinggi dulu memang boleh dilakukan hanya kita belum mula di negara ini," katanya kepada pemberita selepas selesai Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) pada Ahad.

Iklan

Ujarnya, penekanan terhadap pemilikan sijil berkenaan dilakukan berikutan sebahagian besar daripada Anggota Tentera Malaysia (ATM) bersara pada umur 41 hingga 45 tahun.

"Jadi atas itulah kita sediakan mereka supaya apabila keluar nanti ada peranan dalam soal untuk menyumbang kepada pembangunan kemajuan negara, di samping itu menunjukkan betapa kerajaan sangat ambil berat mengenai perajurit-perajurit yang berkhidmat pada hari ini.

Iklan

"...Dan sebagai penghargaan mereka atas kesetiaan dan pengorbanan mereka menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Jadi walaupun mereka sudah keluar, kita bekalkan mereka dengan diploma dan ijazah," katanya.

Seramai 1,144 perajurit muda berjaya menamatkan latihan pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Pusasda pada Ahad..

Dalam pada itu, pada perbarisan tamat latihan ini seramai 1,144 perajurit muda berjaya menamatkan latihan masing-masing bagi pengambilan kali ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 44 Perajurit Muda berkelulusan diploma, 18 (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia), seorang berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia, enam orang Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia, 99 lagi Kemahiran Malaysia, empat orang mempunyai akademik sijil pelbagai bidang dan bakinya perajurit muda berkelulusan SPM.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 1,000 anggota tentera seluruh negara yang tidak mempunyai kelulusan diploma akan memperoleh manfaat melalui Program Work-Based Learning (WBL) hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menerusi program tersebut, anggota ATM berpeluang mengikuti enam pilihan penilaian yang ditawarkan iaitu Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pendidikan Islam, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Diploma Sains dan Rekreasi serta Diploma Sains Geomatik.